Ketiga-tiga kapal berkenaan dilaporkan sudah tiba di Kalimantan, kawasan yang paling teruk terjejas bagi membolehkan bantuan perubatan, khemah, bekalan makanan dan topeng muka dapat diagih-agihkan kepada penduduk.
Jurucakap tentera Indonesia, Tatang Sulaiman berkata, pihaknya merancang membina khemah sementara yang mempunyai kemudahan pembersih udara serta tempat tidur, dan berkemungkinan besar kapal perang terbabit akan digunakan sebagai pusat pemindahan sementara.
Sementara itu, jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan dilaporkan mula menyelubungi ibu negara ini, hari ini.
Portal The Nation melaporkan, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, jerebu dikesan di ruang angkasa Jakarta sejak Jumaat lalu pada altitud 1,000 hingga 1,300 meter.
“Jerebu kelihatan lebih tebal pada waktu pagi kerana bercampur dengan kabus. Keadaan ini hanya sementara dan boleh berubah bergantung kepada tiupan angin.
“Kualiti udara di Jakarta masih normal kepada sederhana,’’ katanya.
Beliau berkata, jerebu daripada kebakaran hutan di kedua-dua lokasi itu telah merebak dan pemantauan satelit pagi ini menunjukkan satu pertiga kawasan Indonesia diselubungi jerebu.
Jawa Tengah, Yogyakarta, sebahagian Jawa Timur, Nusa Tenggara Timur, Sulawesi Utara dan bahagian utara Papua kekal tidak dicemari jerebu.
Sutopo berkata, jerebu tebal terus menyelubungi kebanyakan bahagian Sumatera dan Kalimantan, mengakibatkan tahap penglihatan rendah, kurang daripada satu kilometer di sejumlah bandar di wilayah itu.
Kualiti udara di Pekanbaru, Jambi, dan Palembang di Sumatera serta Pontianak dan Palangkaraya kekal tidak sihat dan berbahaya.
“Sudah hampir dua bulan pen­­duduk di Riau, Jambi dan Palangkaraya menghidu asap berbahaya,’’ katanya.