Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam, Abbas berkata, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menganggap pihaknya tidak lagi terikat dengan perjanjian dengan Israel yang dimeterai pada pertengahan 1990-an.
Abbas turut mengulangi pendirian PA bahawa perjanjian ber­kenaan tidak akan berkuatkuasa selagi rejim Zionis menyokong pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan enggan membebaskan tahanan Palestin.
“Anda semua sedar tentang tindakan Israel mengganggu usaha damai yang digerakkan oleh Pre­siden AS, Barack Obama sejak beberapa tahun lalu.
“Paling terbaharu, usaha yang dilaksanakan oleh Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk mencari penyelesaian secara aman turut terjejas akibat tindakan Israel,” kata beliau.
Abbas memuji usa­­ha Perancis meng­hidupkan semula run­dingan damai yang tertangguh sejak tahun lalu dan beliau menggesa pembentukan kerajaan perpaduan di Pa­lestin bagi menyatukan kumpulan-kumpulan politik Palestin.
“Kami berazam untuk mempertahankan perpaduan rakyat dan kedaulatan negara Palestin.
“Kami akan membentuk kerajaan perpaduan yang berfungsi mengikut program Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan mengadakan pilihan raya Presiden serta Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang pegawai pentadbiran AS yang enggan dikenali berkata, Abbas mengulangi komitmen beliau untuk mencari penyelesaian ke arah pembentukan dua buah negara, objektif yang sama dikongsi oleh Washington.
“Kami akan mencari jalan untuk menamatkan persengketaan antara kerajaan Palestin dan Israel menerusi tindakan dan dasar yang terikat pada penyelesaian ke arah pembentukan dua buah negara,” kata pegawai terbabit. – REUTERS