Manila menegaskan bahawa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Undang-Undang Laut yang ditandatangani oleh Filipina dan Beijing, perlu diguna pakai untuk menyelesaikan isu perebutan kawasan te­rumbu dan kepulauan kecil di Laut China Selatan yang mencetuskan ketegangan antarabangsa.
Namun, Beijing enggan melibatkan diri dalam proses perundangan itu, sebaliknya mendakwa Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berusia lebih 100 tahun dan beribu pejabat di The Hague itu, tidak mempunyai kuasa terhadap kes tersebut.
Mahkamah berkenaan, bagaima­napun menegaskan bahawa pihaknya mempunyai kuasa mendengar kes yang dikemukakan Filipina dan mengheret China untuk terlibat dalam perbicaraan.
“Berdasarkan kes yang dikemukakan Filipina, tribunal menolak dakwaan China bahawa pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan berada di luar bidang kuasa mahkamah.
“Sebaliknya, mahkamah mendapati kes berkenaan melibatkan perebutan antara dua negara, sekali gus terikat kepada Konvensyen PBB yang dipersetujui sebelum ini,” jelas tribunal itu dalam kenyataannya.
Mahkamah Tetap Timbang Tara ditubuhkan pada 1899 untuk menyelesaikan pertikaian antara negara dan menjelaskan bahawa kes yang dikemukakan Filipina pada 2013 masih lagi diteliti.
Pendengaran kes berkenaan akan diadakan secara tertutup di The Hague dan keputusan akhir dijangka dikeluarkan pada tahun depan.
Selain itu, mahkamah bersetuju untuk mengambil tujuh daripada 15 pendakwaan yang dikemukakan Manila, khususnya membabitkan isu Beting Scarborough dan kawasan terumbu termasuk Terumbu Mischief yang dianggap sebagai pulau.
Malah, tribunal menimbangkan dakwaan Filipina tentang aktiviti pembinaan pulau buatan oleh China di Beting Scarborough yang mengganggu aktiviti menangkap ikan di situ.
Beijing mendakwa hampir semua kawasan di Laut China Selatan, kawasan yang strategik dan kaya dengan hasil mineral adalah milik mereka, walaupun beberapa negara lain termasuk Malaysia, Vietnam, Taiwan, dan Brunei mengemukakan tuntutan yang sama atas wilayah terbabit. – AFP