Suspek yang dikenali sebagai Babun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah tidak jauh dari situ dipercayai pergi ke rumah Intan Suraya pada sebelah pagi selepas mengetahui ibu bapa gadis itu tidak ada di rumah.
Lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai masuk ke rumah mang­sa dipercayai menggunakan kunci pendua dan berlaku pertengkaran sebelum gadis malang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan dirogol dan dibunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi berjaya ditahan polis kira-kira dua jam di kawasan berhampiran selepas mayat mangsa ditemukan.
Menurutnya, suspek kemudian membawa polis ke tempat kerjanya dan menunjukkan tempat dua bilah pisau berbalut dengan kain yang dipercayai telah digunakan untuk membunuh mangsa disembunyikan.
“Suspek mengakui telah merogol mangsa dan berlaku pergelutan. Almari dan meja dalam bilik mangsa pecah. Selepas mangsa tidak bernyawa, suspek menyelimutkan mangsa di atas katil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Zakaria berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa telah meninggal dunia kira-kira 10 jam sebelum mayatnya ditemukan oleh bapanya.
Ujarnya, ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan telah direman selama seminggu manakala kes ber­kenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai kunci pendua rumah mangsa dan kita akan siasat bagaimana suspek mempunyai kunci tersebut,” katanya.