SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam Op Bersepadu dan Op Ikrar di Kuching, kelmarin.
Jabatan Imigresen negeri dalam kenyataannya di sini memberitahu, tangkapan menerusi dua operasi iaitu Op Bersepadu dan Op Ikrar yang dijalankan dengan kerjasama pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu melibatkan 27 rakyat Indonesia serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan China.
Menurut kenyataan itu, serbuan pertama di Blok 9, Salak Land District, Santubong-Buntal, Jalan Sultan Tengah diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI), Meheun Runies berjaya menahan 14 buruh Indonesia kerana melanggar Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Dua daripada mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan, enam ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang sepatutnya dan enam lagi disyaki melanggar Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 di bawah Perkara 11(7)(a) kerana bekerja tanpa permit.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan turut dikeluarkan saman sebagai saksi untuk membantu siasatan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, operasi kedua di bawah Op Ikrar diketuai TPPI, Hairol Asuad Usop melibatkan serbuan di sebuah tapak pembinaan di Blok 10, Matang Land District Off Jalan Tondong, Batu Kawa.
Tambah kenyataan itu, dalam serbuan tersebut, seramai 15 pekerja asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Empat lelaki Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, manakala lelaki Bangladesh pula melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama setelah gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.
“Sembilan lagi lelaki Indonesia dan seorang warga China pula disyaki melanggar Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 di bawah Perkara 11 (7)(a) kerana bekerja tanpa permit sah di premis berkenaan,” ujar kenyataan itu lagi.