Search This Blog

Sunday, September 27, 2015

Jerebu: Singapura saman Indonesia



GAMBAR yang dirakam dari udara di kawasan sebuah ladang konsesi Pelalawan, wilayah Riau, Indonesia menunjukkan kebakaran yang menyebabkan asap tebal dan jerebu. - AFP


SINGAPURA – Singapura akan mengambil tindakan undang-undang yang boleh membawa kepada hukuman denda berat terhadap syarikat Indonesia yang bertanggungjawab membakar ladang dan hutan sehingga menyebabkan tahap kualiti udara tidak sihat di sekitar bandar raya ini.
Lima syarikat Indonesia termasuk syarikat multinasional, Asia Pulp and Paper (APP) bakal menerima notis tindakan undang-undang, menurut kerajaan Singapura dalam satu kenyataan lewat kelmarin.
Langkah itu berikutan kemelut diplomatik ekoran kegagalan Indonesia menghentikan jerebu berasap yang turut memberi kesan kepada Malaysia dan berterusan sejak bertahun-tahun.
APP merupakan sebahagian daripada konglomerat Sinar Mas iaitu salah sebuah syarikat terbesar dunia mengeluarkan pulpa dan kertas. Produk syarikat tersebut seperti alat tulis dan tisu tandas.
APP kini diminta oleh Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura untuk membekalkan maklumat mengenai anak-anak syarikat yang beroperasi di Singapura dan Indonesia serta langkah yang diambil bagi memadamkan kebakaran di konsesi milik mereka.
Kumpulan syarikat itu yang mempunyai kilang kertas di Indonesia dan China bagaimanapun belum mengulas ketika ditanya AFP.
Di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014, Singapura boleh mengenakan denda SG$100,000 (RM308,000) bagi setiap hari tahap tidak sihat pencemaran jerebu dengan jumlah maksimum SG$2 juta (RM6.17 juta).
Baru-baru ini, empat syarikat, Rimba Hutani Mas, Industri Kayu Sebangun Bumi Andalas, Bumi Sriwijaya Sentosa dan Wachyuni Mandira telah dimaklumkan agar mengambil langkah memadamkan api di tanah milik mereka selain menghentikan penanaman semula.
Kerajaan Singapura berkata, pihaknya sedang mengkaji kesan ekonomi yang berlaku akibat perbuatan syarikat berkenaan.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Vivian Balakrishnan berkata, masalah jerebu telah berlangsung terlalu lama.
"Ini bukan bencana alam sekitar. Jerebu adalah masalah buatan manusia yang tidak boleh dikompromi sama sekali. Ia memberi kesan kepada kesihatan, sosial dan ekonomi," ujarnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3mtIBmxfw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment