Search This Blog

Friday, August 28, 2015

Serangan di Virginia bermotifkan dendam


28 Ogos 2015 1:19 AM



WASHINGTON 27 Ogos – Penyerang bersenjata yang menembak mati seorang wartawan dan jurukamera saluran WDBJ-TV yang bersekutu dengan syarikat televisyen Virginia CBS ketika sedang bersiaran langsung di Virginia, semalam, diperca­yai mempunyai motif dendam terhadap mangsa.
Suspek yang dikenali sebagai Vester Flanagan merupakan bekas pekerja syarikat yang sama untuk rancangan berita pagi saluran WDBJ-TV, disahkan meninggal dunia selepas menembak diri sendiri ketika diburu pihak polis.
Motif pembunuhan tersebut ter­bongkar selepas Flanagan atau terkenal dengan panggilan Bryce Williams, 41, mengeluarkan bebe­rapa kenyataan dalam laman sosial Twitter dan menghantar manifesto setebal 23 muka surat berbaur perkauman kepada syarikat rang­kaian televisyen ABC selepas me­nembak mati wartawan, Alison Parker dan jurukamera, Adam Ward.
Dia turut memuat naik rakaman kejadian itu menerusi laman media sosial yang menunjukkan detik-detik tembakan dilepaskan ke arah Parker dan Ward.
Antara komen yang dikeluarkan, Flanagan mendakwa, Parker sering mengeluarkan kenyataan ber­baur perkauman dan Ward mem­buat laporan kepada jabatan sumber manusia syarikat Virginia CBS sehingga menyebabkan dia dibuang kerja.
Malah menerusi manifesto yang dikirim pada ABC, lelaki berketurunan Amerika-Afrika itu menga­kui, serangan berdarah di sebuah ge­reja di Charleston, South Carolina yang menyaksikan sembilan orang berkulit hitam mati ditembak, menjadi motivasi buat dirinya untuk me­lakukan pembunuhan tersebut.
“Serangan di gereja merupakan titik kemuncak, tetapi kemarahan yang saya rasai sudah lama timbuk.
“Kenapa saya melakukan pembunuhan itu? Saya membayar deposit untuk sepucuk pistol pada 19 Jun lalu dan serangan di Charleston berlaku 17 Jun lepas,” jelasnya dalam manifesto itu yang turut mendakwa dia sering menjadi mangsa buli sejak sekian lama kerana merupakan lelaki homoseksual berkulit hitam.
Flanagan menyertai rancangan WDBJ-TV pada Mac 2012 dan dipecat pada Februari 2013 dengan diiring anggota polis keluar ke pintu bangunan.
Semalam, dia menembak mati bekas rakan sekerjanya, Parker, 24, dan Ward ketika satu sesi temu ramah dengan Pengarah Dewan Perdagangan Mountain Lake, Vicki Gardner sedang disiarkan secara langsung.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Gardner yang ditembak di bahagian dada masih mendapatkan rawatan di hospital dan dilaporkan semakin pulih. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-di-virginia-bermotifkan-dendam-1.129306#sthash.mSiWkjTZ.dpuf

No comments:

Post a Comment