Search This Blog

Friday, August 28, 2015

Dua nelayan cedera bot tiba-tiba meletup

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 10:29 PM

AZMAN Ismail (kiri) bersama rakannya, Norizan Azmi melihat kerosakan bot yang meletup ketika menjalankan kerja kimpalan di jeti pendaratan ikan Kubang Rotan, Alor Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Dua nelayan cedera parah apabila sebuah bot gentian kaca yang sedang dibaiki mereka di jeti nelayan Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini tiba-tiba meletup dipercayai akibat tindak balas minyak petrol dan wap panas. Kejadian kira-kira 2 petang itu mengakibatkan Razman Omar, 33, cedera di kaki kanan manakala Mohd Sani Abdullah, 37, cedera di kepala dan rusuk kanan. Mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dirawat. Pemilik bot berkenaan, Aswad Abdullah, 30, yang juga berada di bot itu tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Nazirul Mubin Samsudin,20, cedera ringan di dada. Aswad berkata, mereka sedang membaiki bahagian bumbung bot kelas A itu menggunakan alat pengimpal besi. "Bot ini mengalami kerosakan di bumbung dan kami tidak keluar ke laut sejak tiga hari lepas. Jadi kami berempat membaiki bumbung bot ini kerana ingin ke laut Sabtu ini. Aswad berkata, dia berada di atas bumbung ketika itu, manakala tiga lagi rakannya berada di lantai bot, dan ketika mereka selesai melakukan kerja kimpalan, lantai berkenaan tiba-tiba berasap lalu meletup. Bagaimanapun, dia sempat melarikan diri manakala Razman dan Mohd Sani terpelanting akibat letupan itu sehingga terkena bucu bot dan buluh yang berada di jeti itu. "Kami percaya kejadian disebabkan minyak petrol yang berada di lantai bot terkena wap panas sehingga mengakibatkan letupan," katanya. Aswad berkata, bot itu dibelinya tujuh bulan lepas dengan harga lebih RM15,000 dan dia menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat kejadian itu. "Lantai bot habis pecah dan peralatan menangkap ikan juga rosak, saya perlu membaiki bot ini semula jika ingin ke laut lagi," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77783

No comments:

Post a Comment