Difahamkan kerja-kerja memasang sambungan hos gas di dalam rumah yang disalurkan ke dalam mesin basuh untuk meletupkan rumah berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki pesakit mental yang tinggal di kawasan berkenaan.
Komander Operasi Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata, anggotanya bergegas ke lokasi berkenaan setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai perkara itu.
“Hampir 10 anggota bomba bergegas ke situ setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kebocoran gas di sebuah rumah sewa di situ,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.40 malam dan kemudian tiba di lokasi tersebut pukul 7.47 malam.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian, didapati tiada kebocoran gas di rumah tersebut, sebaliknya mengesan dua tong gas dengan sambungan hos gas di dalam rumah yang disalurkan ke dalam mesin basuh di luar rumah, dipercayai bertujuan menyebabkan berlakunya letupan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba segera menjalankan siasatan dan mendapati rumah itu hanya didiami oleh seorang penyewa.
“Semasa tiba, penghuni tidak berada dalam rumah itu. Anggota bomba kita telah mematikan punca gas dan selesai pada pukul 8.57 malam,” katanya.
Rosli berkata, kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.