Search This Blog

Sunday, August 30, 2015

71 pendatang mati dalam trak


KAKITANGAN forensik polis memeriksa sebuah trak yang dipenuhi 71 mayat migran di lebuh raya berhampiran Parndorf, Austria kelmarin. - AGENSI


VIENNA – Polis Austria menemui 71 mayat pendatang di dalam sebuah trak yang ditinggalkan di tepi lebuh raya, demikian menurut satu kenyataan kerajaan semalam.
Penemuan itu menjadikan ia tragedi terbaharu melibatkan penderitaan pendatang asing yang berterusan berusaha berhijrah ke Eropah.
Selain itu, sebanyak 76 mayat turut ditemui di perairan Mediterranean berhampiran Libya kelmarin selepas sebuah bot yang membawa pendatang ka­ram, manakala kapal pengawal pantai Sweden yang berlabuh di Sicily turut dipenuhi dengan 52 mayat pendatang.
Mayat tersebut pada mulanya ditemui oleh pekerja penyelenggaraan lebuh raya Austria yang melihat trak ternakan ayam itu tersadai di tepi jalan kelmarin.
Menurut jurucakap polis, Hans Peter Doskozil, setelah didekati, pekerja tersebut menyedari terdapat cecair busuk yang menitis daripada kenderaan tersebut.
Pihak polis yang datang ke lokasi kejadian kemudian membuka pintu trak itu sekali gus mendapati puluhan mayat bertindihan di dalamnya. Trak itu kemudian ditunda untuk pemeriksaan lanjut.
Pakar forensik kini berusaha untuk mengenal pasti mayat yang ada dan berdasarkan keadaan mayat itu, mereka yakin semua mangsa sudah mati dalam tempoh tertentu.
Canselor Jerman, Angela Merkel yang berada di Austria bagi mengha­diri persidangan pemim­pin negara Balkan berhubung krisis pendatang di Eropah berkata, pene­muan mayat tersebut satu berita yang sangat menggemparkan.
“Ia merupakan satu ama­ran kepada kami untuk menangani isu pendatang dengan segera dan dalam semangat warga Eropah, semangat solidariti dan untuk mencari penyelesaian,” kata Merkel.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Austria, Johanna Mikl-Leitner berkata, tragedi itu memberi kesan mendalam buat mereka.
“Ini merupakan hari gelap kita. Penyeludupan manusia adalah satu jenayah,” kata Mikl-Leitner dalam satu sidang media.
Para pemimpin Kesatuan Eropah terpaksa berjuang untuk menangani krisis ini yang menyaksikan hampir 340,000 migran merentasi sempadan blok itu tahun ini, kebanyakannya dari Iraq dan Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0829&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3kFH43DAI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment