Kesemua suspek iaitu tiga lelaki warga Nigeria dan seorang pemandu teksi warga tempatan ditahan antara pukul 2 pagi pada Rabu lalu sehingga 12.10 tengah hari semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).
Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, pemandu teksi berumur 49 tahun itu dijadikan keldai dadah dan diupah sindiket warga Nigeria de­ngan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 setiap kali berurusan.
Katanya, lelaki itu ditugaskan untuk mengambil dan membawa bekalan dadah yang diseludup dari Thailand ke sini menggunakan teksi miliknya bagi mengelak dikesan polis.
“Tangkapan pertama dilakukan susulan penemuan ganja yang diisi dalam empat beg ditemukan di bahagian but kereta Toyota Camry yang diletakkan di kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Puchong.
“Tujuh jam kemudian kita berjaya menahan tiga lelaki Nigeria yang berumur antara 24 hingga 34 tahun di sebuah rumah di Cheras,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Dzuraidi, susulan penangkapan itu, pihaknya menahan pemandu teksi di Sungai Way.
Katanya, dua daripada lelaki warga Nigeria berkenaan mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Tambah beliau, kegiatan pengedaran dadah tersebut dipercayai mula beroperasi sejak Februari lalu manakala kesemua dadah dipercayai dibawa melalui sempadan Malaysia-Thailand sebelum dijual di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek direman selama seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.