Search This Blog

Friday, August 28, 2015

40 korban bah


Pyongyang: Seramai 40 maut dan ribuan terkandas akibat hujan lebat di Korea Utara yang menyebabkan banjir kilat serta kerosakan teruk sepanjang hujung minggu lalu, lapor Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan media tempatan.

Lebih 11,000 orang menjadi mangsa banjir kilat termasuk ada yang terpaksa meninggalkan kediaman di Rajin, berhampiran sempadan China dan Russia pada Sabtu serta Ahad lalu, kata jurucakap Pertubuhan Palang Merah di Beijing, Hler Gudjonsson.

Rajin ialah ibu negeri Zon Ekonomi Khas Rason di wilayah Hamgyong, utara negara itu.

Sumber berkata: “Hujan sangat lebat dan deras. Pada pagi Sabtu bandar ini sudah dinaiki air. Kereta pun bagaikan bot meredah banjir.”

Setakat ini belum jelas kesan hujan lebat terhadap negara itu yang mengalami musim kemarau paling teruk dalam tempoh seabad sebelum ini.

Media Korea Utara melaporkan kematian 40 orang dan kerosakan teruk akibat 250 milimeter (mm) hujan sepanjang hujung minggu. Kira-kira 155mm hujan dialami dalam tempoh hanya tiga jam, Sabtu lalu.

Pihak berkuasa di China bekerja sama dengan pegawai sempadan Korea Utara untuk memindahkan 484 pelancong warganya yang terkandas selepas satu-satunya jalan ke sempadan tenggelam akibat banjir.

Kebanyakannya berada di kawasan itu kerana menghadiri pameran perdagangan di Rajin.

Pihak berkuasa China menghantar lori sampah, forklift dan peralatan berat ke Rajin untuk membantu usaha menyelamat pelancong terbabit. Portal berita China melaporkan semuanya berjaya diselamatkan.

Cuaca buruk dikaitkan dengan Taufan Goni mengakibatkan 26 kematian apabila ia membadai Filipina, Sabtu lalu.

Korea Utara tidak terkesan secara langsung dengan taufan itu tetapi mudah banjir disebabkan kekurangan hutan di tanah tinggi.

Awal Ogos lalu, hujan lebat di kawasan sama mengakibatkan 21 kematian dan menjejaskan kehidupan 3,400 yang lain, lapor Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:37 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73201#sthash.MeeD4LoT.dpuf

No comments:

Post a Comment