Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki tersebut ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bersama Unit Elit Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman kira-kira pukul 4 pagi.
Beliau berkata, suspek yang berselindung di sebalik pekerjaannya sebagai pelukis batik dipercayai mendalangi kumpulan 'Sindiket Sireh' yang aktif mengedar dadah jenis pil kuda di negeri ini sejak enam bulan lalu.
“Hasil pemeriksaan kita menemukan dua bungkusan yang mengandungi 4,000 biji disyaki pil kuda di bilik tingkat atas rumah tersebut.
“Ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu). Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Sementara itu Mazlan berkata, seramai 135 individu berusia 19 dan 59 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut dengan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM103,414 dirampas dalam tiga serbuan yang dijalankan serentak.
Katanya, operasi yang bermula pukul 10 malam sehingga 12 tengah hari itu khusus untuk membanteras kegiatan penagihan serta pengedaran dadah di tiga kawasan iaitu Wakaf Che Yeh dan Kampung Sabak di sini serta Kampung Rengas, Labok di Machang.
“Kita rampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin, dan pil kuda tetapi dalam jumlah yang kecil, paling banyak adalah yang dimiliki oleh pemuda tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM2,000 di Wakaf Che Yeh, di sini.
“Kumpulan ini menjual mercun di dalam bonet kereta. Mereka terlebih dahulu mencari pelanggan di sekitar kawasan itu," katanya.