PASIR PUTEH - Tindakan berani suami meredah api untuk menyelamatkan isterinya dalam kebakaran menyebabkan dia sendiri melecur dalam kejadian di kedai makan di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu,  Kampung Padang Pak Amat, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Abdul Wahab Ismail, 51, melecur pada badan selepas meredah api yang sedang marak sebelum kedai makan miliknya musnah sepenuhnya.

Detik cemas itu diceritakan Wahab kepada rakan karibnya, Rosli Jusoh, 52, beberapa minit selepas kejadian itu sebelum dia dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan lanjut.

Rosli ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, Wahab dan isterinya, Rabiatul Adawiah Yahya, 43, serta tiga anak mereka berusia 16 tahun hingga 3 tahun berada di dalam kedai tersebut.

Katanya, ketiga-tiga anak mereka berlari keluar terlebih dahulu sebaik menyedari kedai mereka terbakar diikuti Abdul Wahab.
“Abdul Wahab masuk semula ke dalam kedai yang sedang terbakar selepas menyedari isterinya masih berada di dalamnya, akhirnya mereka semua berjaya keluar tapi Wahab melecur kerana meredah api.

“Mereka tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan berharga dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima panggilan jam 3.15 petang bergegas ke lokasi dan mengawal kebakaran dalam masa dua minit.

Katanya, bomba dengan kekuatan sembilan anggota berjaya memadamkan api sepenuhnya jam 4.55 petang.

“Ketika kami sampai, bangunan jenis sementara itu terbakar seluruhnya, mangsa yang tercedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

“Dua motosikal yang diletakkan dalam kedai tersebut mengalami kerosakan selain sebuah kereta  jenis Proton Saga yang terjejas akibat kebakaran tersebut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kami menganggarkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM15,000,” katanya.