KOTA BHARU - Seorang pelukis batik sanggup berselindung di sebalik kerjayanya itu bagi mendapatkan keuntungan lebih dengan menjual beli dadah untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Namun kegiatannya terbongkar selepas diserbu pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sebuah rumah di Lembah Sirih di sini pagi semalam.

Dalam serbuan jam 4.15 pagi itu, suspek turut ditahan bersama 4,000 dadah jenis pil kuda yang bernilai RM92,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pemuda berusia 20 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak dua tahun lalu.

“Dia baru sahaja terlibat dalam kegiatan ini dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah untuk dipasarkan sekitar kawasan Kota Bharu.

“Ini merupakan rampasan yang menunjukkan kejayaan polis Kelantan hanya dalam ops sehari kita berjaya mendapatkan rampasan yang banyak," katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di sini semalam.

Mazlan berkata, pemuda berkenaan merupakan antara 135 yang ditahan dalam Ops Tapis dan Ops Sarang Bersepadu yang bermula malam kelmarin dan berakhir semalam.

Daripada 135 yang ditahan, tiga adalah  wanita manakala selebihnya lelaki. Dalam operasoi itu juga, polis turut menyerbu kawasan dikenal pasti sebagai sarang  dadah atas aduan dan maklumat awam.

“Kita turut menumpukan tiga kawasan utama termasuk Wakaf Che Yeh, Kampung Sabak Pengkalan Chepa dan Padang Renggas di Machang,” katanya.