KUALA LUMPUR - Dua orang sepupu maut setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Jalan Syed Putra menghala ke Mid Valley awal pagi ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Mohd Zulkarnain Nasir, 19, dan Nazrul Tanang, 39, yang dalam perjalanan pulang ke Klang, meninggal dunia setelah kereta yang dipandu Mohd Zulkarnian hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok sebelum terbalik.

kemalangan
Gambar hiasan
"Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di tempat duduk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.45 pagi, dan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah serta Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dikerah ke lokasi kejadian. - Bernama