BUKIT BERUANG - Tiga beranak termasuk bayi perempuan nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya, Jalan Bukit Beruang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Rayneld Edan, 35, yang memandu Proton Wira dan turut dinaiki isterinya berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menghala Lebuh Ayer Keroh.

Difahamkan, kedua-dua pasangan terbabit baru sahaja menjemput bayi mereka yang berumur 1 bulan 18 hari dari rumah saudara sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurut sumber, kemalangan itu mengakibatkan bayi berkenaan mengalami kecederaan dalaman manakala bapanya parah dan ibunya bagaimanapun tidak cedera.

“Ketika kejadian itu berlaku, kereta yang dinaiki mangsa sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sementara menunggu lampu hijau sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Sentra yang dinaiki dua pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan bumbung kereta dinaiki mangsa putus,” katanya.

Katanya, pemandu Nissan Sentra itu hanya mengalami cedera ringan dan kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Kominsioner, Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.