Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata operasi pencarian itu melibatkan tiga kapal milik TLDM iaitu KD Terengganu, Kd Pendekar dan KD Ganyang.
"Dalam masa sama, pihak Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Putrajaya juga telah memaklumkan negara-negara jiran tentang kehilangan kapal tangki itu.
"Usaha pencarian sedang giat dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan maritim negara-negara jiran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Abdul Aziz berkata sebanyak 150 anggota TLDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat bagi membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila ia dilaporkan hilang.
Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 orang kru iaitu 16 warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.-BERNAMA