PDRM dalam kenyataan hari ini berkata taktik berkenaan digunakan dengan menjual bahan terlarang itu dalam bentuk makanan pepejal yang dijual melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu, modus operandi yang digunakan dalam pengedaran dadah adalah dengan mencampurkan adunan bahan makanan dengan campuran dadah.
"Suspek hanya berinteraksi dengan pembeli melalui Facebook dan aplikasi Instagram sahaja untuk menempah pembelian dan penghantaran 'makanan' yang dipesan, manakala penghantaran hanya dibuat melalui perkhidmatan kurier atau pos sahaja.
"Sindiket pengedaran dadah kini mencari alternatif baru untuk menarik sesiapa sahaja yang berminat untuk membeli dan memiliki pelbagai jenis dadah," kata kenyataan itu.
PDRM menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar mengawasi aktiviti sosial anak-anak seperti perhubungan melalui media sosial.
Selain itu, orang ramai diminta sentiasa bersikap ingin tahu apabila melihat ahli keluarga dan rakan berkelakuan aneh serta melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan yang diterima melalui kurier atau pos.
- BERNAMA