KEMAMAN – Selepas hampir 36 jam bertarung nyawa, seorang bapa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala setelah motosikal ditunggang terlanggar lembu di jalan pintasan Seri Bandi-Ibok, di sini.

Mangsa, Mohd Ismail Jusoh, 41, yang bekerja di syarikat swasta menghembuskan nafas akhir jam 6 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, kemalangan berlaku lebih kurang jam 6.30 petang, Sabtu lalu ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ibok dari arah Seri Bandi.

Mangsa yang tinggal di Rumah Murah Ibok dan punyai seorang anak berusia 6 tahun, ketika kejadian menunggang Yamaha Ego LC.

“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai tidak sempat mengelak selepas sekumpulan lembu melintas secara tiba-tiba.

“Berikutan itu mangsa tercampak ke atas jalan dan alami kecederaan parah di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya.

Ketika kejadian, kebetulan ambulans dari Klinik Kesihatan Seri Bandi melalui laluan itu dan bertindak membawa mangsa segera ke hospital.

Normansah berkata, disebabkan keadaannya yang kritikal, mangsa meninggal dunia selepas tiga hari dirawat hospital dan punca kematian akibat kecederaan parah pada kepala.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala jenazah pula dituntut keluarga pagi kelmarin sebelum dikebumikan pada tengah hari di Ibok.