Ketua Polis negeri, Datuk Jaafar Mohd. Yusof berkata, setakat ini siasatan tertumpu kepada dua perkara iaitu perniagaan kosmetik yang diuruskan Lim Kim Song, 34, serta projek pelaburannya di Laos.
“Siasatan awal kita mendapati mangsa merupakan anggota kongsi gelap dan turut mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Usaha mengenal pasti suspek terlibat sedang giat dilakukan dan setakat ini tiada sebarang tangkapan berhubung kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Nilai di Putra Nilai, Nilai dekat sini hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, Kim Song yang berasal dari Serdang, Selangor, maut terkena empat das tembakan yang dilepaskan dari jarak dua meter ketika sedang menuju ke kenderaannya bersama seorang rakan selepas selesai makan malam di sebuah restoran di Nilai.
Dalam perkembangan lain, Jaafar memberitahu, indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 23 peratus bagi tempoh lima bulan tahun ini termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang menurun sebanyak 15 peratus.
“Walaupun peratusan itu menurun namun masyarakat masih rasa tidak selamat kerana trend jenayah yang dilakukan pada masa kini terlalu ganas.
“Sebagai contoh, jika dulu mereka (penjenayah) menyamun, tetapi sekarang mereka mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum menyamun,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdullah Roning menyerahkan tugas secara rasmi kepada penggantinya, Superintenden Zaldino Zaludin yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang.
Abdullah ditukarkan ke IPD Kuala Krai, Kelantan dengan pangkat yang sama hari ini.