KUNDASANG - Jumlah penduduk Kampung Mesilau dekat sini yang dipindahkan ekoran kejadian banjir lumpur di Sungai Mesilau 1 dan Mesilau 2 meningkat kepada 211 orang daripada 47 keluarga sehingga jam 7 malam ini.   

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata kesemua penduduk berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Mini Kundasang.

 Sementara itu, Mohd Affendi berkata Pegawai Daerah Ranau dan Jabatan Bomba telah menasihatkan penduduk berhampiran empangan Kg Kirambang/Kg Liwagu  agar berpindah buat sementara waktu ke Dewan Masyarakat Ranau memandangkan empangan berkenaan telah dipenuhi dengan kayu balak.

Katanya kedua-dua agensi kerajaan berkenaan mengeluarkan nasihat itu kerana dikhuatiri air empangan akan melimpah ke kawasan berhampiran.

"Anggota bomba Ranau telah bersiap sedia untuk segala kemungkinan. Pusat pemindahan (Dewan Masyarakat Ranau) telah dibuka," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kundasang, Datuk Dr Juakim Gunsalam ketika melawat penduduk yang dipindahkan di Dewan Mini Kundasang berkata walaupun kediaman penduduk kampung berkenaan belum terjejas dengan banjir lumpur namun ia sebagai langkah berjaga-jaga sehingga pihak berkuasa  dapat mengesahkan bahawa perkampungan mereka selamat daripada ancaman banjir lumpur.

Katanya setakat ini, empat jambatan sudah dihanyutkan banjir lumpur di Sungai Mesilau 1 dan Mesilau 2 iaitu jambatan di Kinabalu Resort, jambatan di Kg Montoki, jambatan Kg Kauluan dan jambatan Mount Kinabalu Golf Club.

"Yang kami takut ialah jika ada air bertakung di hulu. Kalau boleh, kita minta pihak berkuasa, sama ada menggunakan dron atau helikopter untuk membuat tinjauan keadaan di hulu sungai (berhampiran kaki Gunung Kinabalu).

Melalui cara ini, kita boleh meyakinkan penduduk untuk kembali ke kampung masing-masing," katanya. - Bernama