Search This Blog

Tuesday, June 16, 2015

Dua warga emas maut nahas



INILAH motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri, Daud dan Faridah yang maut dalam satu kemalangan langgar lari di Jalan Changlun-Kangar, Kampung Sungai Laka, Changlun, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah kende­raan lain dipercayai lori dalam kejadian langgar lari di Jalan Changlun-Kangar, Kampung Sungai Laka, Changlun semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu berlaku ketika penunggang motosikal, Daud Hasan, 78, dalam perjalanan menghantar isterinya, Faridah Kassim, 64, pekerja kantin ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Felda Laka Selatan, Changlun.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd. Rahim Abdullah berkata, motosikal jenis Honda Wave dinaiki kedua-dua mangsa terbabas ke kiri jalan selepas dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan berat.
“Motosikal itu kemudiannya me­langgar sebatang tiang sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata beliau, mayat pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Baru, Sungai Laka, Changlun itu dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.
Abd. Rahim pada masa sama meminta mana-mana saksi kejadian agar menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-9172222.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3dB4HT5Ui 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment