Pegawai Turus Trafik Cops Bukit Aman, Superintenden Zulkefly Yahya berkata, bagi fasa pertama, sekurang-kurangnya 20 unit ANPR bernilai kira-kira RM30 juta akan digunakan bagi memburu pesalah trafik.
Menurutnya, alat pengimbas itu yang masih dalam proses pembe- lian tidak hanya akan diletakkan di sempadan negara malah turut dipasang pada kereta peronda.
“ANPR yang menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat itu bakal digunakan secara meluas di negeri yang bersempadan dengan negara jiran termasuk untuk memburu pesalah trafik warga asing yang liat membayar saman trafik.
“Bukan itu sahaja, alat pengimbas tersebut yang dipasang pada kereta peronda mampu mengesan sekiranya kenderaan itu adalah kenderaan curi atau pernah digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan sempena Operasi Saman Tertunggak Warga Asing 2015 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah, Lebuh Raya Link Kedua di sini yang bermula Jumaat lalu hingga Selasa ini.
Menurut Zulkefly, pesalah trafik yang dikesan menerusi alat pengimbas berkenaan yang dipasang pada kereta peronda boleh dikenakan tindakan saman serta merta.
Mengulas mengenai operasi berkenaan, beliau berkata, sebanyak 4,200 saman tertunggak bernilai kira-kira RM600,000 dilunaskan pesalah trafik warga Singapura dengan kebanyakan kesalahan adalah memandu melebihi had laju.
“Sejak 2010 jumlah saman tertunggak melibatkan kenderaan asing adalah sebanyak 700,000 berjumlah kira-kira RM75 juta, dengan kira-kira 500,000 saman adalah daripada pesalah trafik warga Singapura.
“Justeru, kita akan terus melakukan operasi ini secara berterusan bagi memburu pesalah trafik yang masih gagal melunaskan saman tertunggak masing-masing,” katanya.