Search This Blog

Tuesday, June 30, 2015

Messi 'Selamatkan' Mangsa Culik Boko Haram


Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 5:19 PM
Santiago (gambar kanan, tengah) selepas dibebaskan penculiknya gembira kerana nama Messi menyelamatkannya daripada terus dipukul ketika dalam tahanan.

MESSI, Messi, Messi. Siapa sangka, nama pemain bola sepak terkemuka dunia itu yang berulang kali disebut mangsa culik telah menyelamatkannya selepas tiga hari diseksa.
Mangsa culik itu, Santiago Lopez Menendez berbuat demikian bagi membuktikan dia bukan warga Amerika Syarikat (AS) seperti yang disangka penculiknya - kumpulan pemberontak Boko Haram di Nigeria.
Jurutera berusia 28 tahun yang bertanggungjawab melaksanakan projek pertanian berdekatan Kontagora, di barat laut Nigeria itu diculik minggu lalu.
Lelaki kelahiran Argentina itu membantu petani tempatan menanam soya dan jagung di kawasan tersebut diculik sekumpulan lelaki yang menaiki trak sebelum diacukan senjata.
Kumpulan penculik tersebut menahan Santiago selama tiga hari tanpa diberi makan atau minum dan lebih teruk lagi lelaki itu dipukul hingga mengalami kecederaan teruk.
Santiago cuba menerangkan bahawa dia bukan rakyat AS tetapi percubaan tersebut tidak berjaya sehinggalah dia mula menyebut nama Messi berulang kali.
Apa yang menakjubkan adalah, kumpulan tersebut berhenti memukulnya dan layanan mereka terhadap Santiago semakin baik.
Santiago bernasib baik apabila majikannya membayar wang tebusan yang dituntut penculik dan dia kini kembali ke Kedutaan Argentina bersama abangnya, Jorge dan teman wanitanya, Alexandra Perkins.
Walaupun dalam keadaan lemah, Santiago sempat menyampaikan mesej melalui abangnya kepada akhbar tempatan, Clarin.
"Terima kasih Messi, menyebut nama anda telah menyelamatkan saya," katanya. 

Tunisia: Rantaian Manusia Selamatkan Pelancong


Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 10:33 AM
Suspek kejadian tembakan di pantai Tunisia dilihat meninggalkan lokasi kejadian Jumaat lalu.

TUNISIA: Tindakan berani sekumpulan pekerja hotel membentuk rantaian manusia di pantai dikatakan punca pelancong asing terselamat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di sini, Jumaat lalu.
Seorang pelancong yang terselamat itu, John Yeoman berkata, pekerja beragama Islam di Hotel Bellevue mencabar lelaki bersenjata itu supaya membunuh mereka jika berhasrat bertindak kejam terhadap pelancong berkenaan.
Menerusi imej yang dimuat naik ke Internet, puluhan lelaki tempatan dilihat  membentuk rantaian manusia bagi melindungi pelancong asing daripada menjadi mangsa tembakan suspek.
Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Seifeddine Rezgui.
Kata Yeoman, ketika berhadapan rantaian manusia itu, lelaki bersenjata terbabit memberitahu dia menyasarkan pelancong Barat.
"Tetapi pekerja hotel kemudiannya menjerit: "Langkah mayat kami dulu, tetapi kami Muslim.
“Mereka begitu berani. Mereka benar-benar orang yang baik,” kata pelancong berusia 46 tahun itu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Najem Gharsalli berkata, pihak berkuasa sudah membuat beberapa penahanan berhubung kejadian itu.
“Kumpulan pertama sudah ditahan dan mereka dipercayai anggota rangkaian yang bertanggungjawab atas serangan pengganas itu,” katanya. 

Rakyat Malaysia Mati Ditembak Di Sungai Golok


Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 11:09 PM

NARATHIWAT: Seorang warga Malaysia maut manakala rakannya cedera akibat ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di Jalan Charengket di Sungai Golok, awal pagi Isnin.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Sungai Golok, Kol.Pol. Somchai Pearkan berkata dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asshraf Zafri, dari Jalan Tepi Sungai, Rantau Panjang, Kelantan, maut akibat terkena satu das tembakan di bahagian kepala.

Beliau berkata rakan mangsa, Muhammad Irfan Muhammad Zain, mengalami cedera parah akibat terkena tembakan di bahagian belakang badan dan dibawa ke hospital di sini untuk rawatan.

Bagaimanapun, umur dan pekerjaan kedua-dua mangsa tidak diperolehi.

Somchai berkata polis menemukan dua kelongsong peluru jenis .9mm dan 14 butir peluru di lokasi kejadian.

Beliau berkata kedua-dua mangsa menyeberang sempadan melalui sungai di Pengkalan Prapa dan menyewa motosikal untuk berurusan di pekan Sungai Golok.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kejadian, polis berjaya menahan seorang suspek warga Thailand berusia 52 tahun di sebuah rumah di pekan Sungai Golok.

"Bagaimanapun, rakan suspek, seorang warga Malaysia meloloskan diri semasa polis menyerbu rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata polis sedang menyoal siasat suspek untuk mengetahui motif pembunuhan itu.

Bekas YB Britain Berdepan 22 Tuduhan Penderaan Seksual



Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 9:58 AM
Lord Greville Janner berhadapan 22 tuduhan penderaan seksual terhadap budak lelaki.

LONDON: Bekas ahli parlimen Britain yang menghidap penyakit Alzheimer kini berdepan 22 tuduhan penderaan seksual kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan seks dengan budak lelaki sepanjang tempoh 25 tahun.
Pendakwa Britain memfailkan tindakan yang dianggap bersejarah itu terhadap Lord Greville Janner, 86.
Sebelum ini, pihak berkuasa enggan mendakwa Janner kerana penyakitnya yang dianggap tidak layak untuk dibicarakan.
Bagaimanapun, kritikan dan tekanan yang dihadapi menyebabkan Pengarah Pendakwaan Awam, Alison Saunders memutuskan tuduhan  diteruskan.
Ia membabitkan sembilan mangsa berusia bawah 16 tahun ketika kejadian antara 1963 hingga 1988 itu.
Keluarga Janner menafikan dia menggunakan kuasanya sebagai ahli parlimen Parti Buruh di Leicester iaitu jawatan dipegangnya antara 1970 hingga 1997  untuk melakukan penderaan seksual terhadap budak lelaki terbabit di rumah kebajikan kanak-kanak di situ.
Pada masa sama, pendakwa mengakui ada kemungkinan Janner  diisytiharkan tidak layak dibicarakan dan tidak akan disabitkan atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, pertuduhan dikenakan bagi memberi peluang kepada mangsa bersuara di mahkamah.
Tuduhan membabitkan Janner mencetuskan spekulasi tahun lalu mengenai rangkaian fidofilia di parlimen menyebabkan Perdana Menteri David Cameron mengarahkan siasatan terhadap isu berkenaan.

113 Penumpang Hercules Dipercayai Terkorban



Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 10:30 PM

JAKARTA: Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) Marshal Agus Supriatna mengesahkan pesawat Hercules milik TNI AU yang terhempas di Medan hari ini membawa 113 penumpang dan kesemua mereka dipercayai terkorban dalam tragedi itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah anggota tentera iaitu empat pegawai termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang manakala lapan lagi adalah juruteknik tentera.

Pesawat itu juga membawa penumpang awam dan kebanyakan mereka dipercayai keluarga anggota tentera namun status mereka masih dalam siasatan.

"Jumlah semuanya 113 penumpang. Kalau yang selamat tak ada. Jenazah baru ditemukan 49 orang. Ini saya mau mengecek (periksa) ke Rumah Sakit Adam Malik," katanya seperti yang dipetik oleh siaran televisyen berita Metro TV.

Agus juga berkata, setakat ini terdapat laporan 23 jenazah telah dikenal pasti namun nama mereka belum dapat diumumkan lagi.

Pihak berkuasa juga mengesahkan antara mayat yang ditemui termasuklah kanak-kanak yang dipercayai berumur bawah lima tahun.

Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI AU terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.

Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.

Menurut saksi, pesawat itu meletup sebelum terhempas dan sebahagian badan pesawat menimpa beberapa buah bangunan rumah kedai termasuk bangunan bernama BS Okup iaitu sebuah pusat perubatan tradisional.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan dipercayai masih ramai mangsa orang awam yang terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan atau badan pesawat itu.

Kes dadah lagi: Mamat Exist didenda RM4,000

Kes dadah lagi: Mamat Exist didenda RM4,000
Mamat Exist

BEKAS vokalis kumpulan Exist, Mamat didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine, Mac lepas.

Majistret Noor Farah Hazwani Othman turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 36, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah juga memerintahkan Mamat yang memakai pakaian penjara berwarna merah menjalani tempoh pengawasan polis selama tiga tahun.

Dia didakwa mengambil dadah itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, di sini pukul 11 malam pada 26 Mac lepas.

Penyanyi itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 Akta yang sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, dan pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.

Peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah yang mewakili Mamat memberitahu media bahawa adik angkat Mamat dari Singapura telah membayar denda itu.

Mamat sedang menjalani hukuman penjara selama lapan bulan di Penjara Bentong atas kesalahan sama selepas gagal membayar denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Raub pada April lepas.

Ketika rayuan, Fadlyzil Ikram memohon hukuman denda paling ringan atas alasan tertuduh mempunyai masa depan dalam bidang nyanyian.

"Anak guam saya telah berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya dan tidak mahu mensia-siakan bakat nyanyian yang ada padanya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz pula memohon hukuman lebih berat atas alasan tertuduh dikenali ramai dan mempunyai peminat yang mengikuti perkembangan hidupnya.

"Sebagai 'public figure' (orang terkenal) sepatutnya menjadi contoh  (role model) kepada pengikut dan peminatnya dan bukan sebaliknya. Tertuduh juga mempunyai satu rekod sabitan lampau atas kesalahan yang sama," katanya. - Bernama 

Kesihatan kanak-kanak mangsa dera makin positif

Sedih: Yaya patah 13 tulang, sukar bernafas
Ibu 'Yaya' menunjukkan gambar anaknya yang mengalami kecederaan ketika menjalani rawatan di HRPZ II.

KOTA BHARU - Kanak-kanak perempuan lima tahun yang cedera serius dipercayai didera, semakin menunjukkan perkembangan positif dari segi tahap kesihatannya.

Ibu saudara kanak-kanak itu berkata anak saudaranya itu yang menjalani pembedahan usus semalam hari ini sudah mula bercakap dengan ibunya.

"Dia dah mula bercakap, dia ada cakap ingin makan dan berjalan-jalan serta ingin berjumpa sepupunya yang lain. Kami ucap terima kasih kepada pihak hospital.

"Dia semakin sihat, cuma kesan daripada pembedahan usus semalam dia tidak boleh makan lagi. Kita doakan dia kembali sihat seperti sedia kala," kata wanita berumur 32 tahun itu kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dera: Suami isteri direman empat hari]

Katanya anggota keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan terhadap ibu tiri serta bapa kanak-kanak itu yang dipercayai menderanya.

"Anggota keluarga tidak mahu masuk campur, kami serah kepada pihak berkuasa yang lebih arif dengan undang-undang," katanya.

Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya dalam keadaan wajahnya cengkung manakala seluruh badannya didapati lebam dan dipenuhi parut, sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta paha.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di HRPZII untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak berusia 39 dan 25 tahun yang menjaga kanak-kanak itu sebelum ini telah ditahan reman oleh polis selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. - Bernama

Bapa dua anak terlepas tali gantung

Bapa dua anak terlepas tali gantung
Tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan.

KOTA BHARU - Umpama diberi peluang bernafas kali kedua apabila bapa kepada dua cahaya mata ini terlepas tali gantung, namun tetap dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh mahkamah tinggi, di sini, hari ini, kerana kesalahan memiliki dadah.

Hukuman diputuskan Hakim, Tuan Ahmad Bache terhadap tertuduh, Mohd Shukri Zulkifli, 30, yang juga seorang buruh itu mengaku salah pada tuduhan pilihan yang ditawarkan.

Pada tuduhan pilihan itu, dia didakwa memiliki 57.45 gram dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Chat Rimau, Jalan Wan Ahmad, Tanah Merah, pada jam 11.15 pagi, 10 Julai tahun lalu.

Pada prosiding, peguam bela, Siti Syaerah Meor Zulkifli Auni memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan faktor dia sebagai penanggung tunggal kepada dua anak berusia lapan dan lima tahun serta seorang isteri.

“Tertuduh mengakui tekanan hidup dalam mencari sumber kewangan bagi menyara kehidupan keluarganya menyebabkan dia tersilap percaturan dengan mengambil langkah terlibat dalam jenayah ini. Tertuduh sudah pun bermuhasabah diri dan sangat berasa kesal terhadap kesalahan itu,” katanya.

Rayuan itu bagaimanapun dibalas hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob yang menyifatkannya lebih kepada kepentingan diri sendiri sahaja, sedangkan kepentingan awam perlu diutamakan mengatasi kepentingan tertuduh.

“Kesalahan tertuduh sangat serius dan jumlah dadahnya sangat banyak iaitu sekali ganda daripada angka minimum bagi seksyen (39A (2)) ini. Tertuduh juga ditahan dengan dadah yang berada bersama-sama dengannya.

“Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi menggambarkan keseriusan kes ini dan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh serta orang lain selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Shukri berdepan tuduhan mengedar dadah berkenaan, namun peguamnya membuat representasi bagi meminda pertuduhan mengedar kepada milikan dadah itu. Pihak pendakwaan kemudian bersetuju dan menawarkan pertuduhan pilihan.

Tertuduh ditahan polis dalam satu serbuan di rumah berkenaan dan pemeriksaan menjumpai beg bersilang di bahunya yang mengandungi 4,000 biji pil dadah.

Tuan Ahmad dalam keputusannya mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan.

Rumah pusaka musnah terbakar

Rumah pusaka musnah terbakar
Rosli melihat keadaan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang didiaminya sejak awal tahun lalu yang musnah terbakar.

PEDAS – Rutin harian seorang guru bangun seawal jam 4 pagi bagi menyediakan juadah sahur buat keluarganya dikejutkan oleh cahaya terang dari luar biliknya di Kampung Minching, di sini, pagi semalam.

Guru berkenaan, Siti Khatijah Ramli, 44, berkata, dia yang segera bangkit dari tilam meninjau melalui tingkap biliknya untuk mengenal pasti cahaya tersebut sebelum terkejut melihat kediaman jirannya terbakar.

Siti Khatijah terus mengejutkan suaminya Nor Azmi Kassim, 55, sebaik sahaja melihat rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya dijilat api sebelum lelaki itu menghubungi bomba.

“Suami juga keluar rumah meminta bantuan jiran-jiran selain turut memaklumkan kepada jiran yang bermalam di rumah saudaranya tidak jauh dari kediaman yang terbakar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mangsa, Rosli Mohamad, 40 berkata, rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang musnah 100 peratus itu mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM20,000.

"Semua barangan, dokumen penting termasuk wang tunai RM200 yang disimpan sedikit demi sedikit bagi persiapan membeli baju raya anak-anak musnah terbakar. Malah, hadiah perkahwinan mereka suami isteri berusia lebih 10 tahun lalu berupa set pinggan mangkuk yang masih belum digunakan juga hangus.

“Saya tidak pernah guna hadiah berkenaan kerana kami suami isteri menunggu hari istimewa untuk menggunakannya.  Cadangnya raya tahun ini, kami mahu menggunakan set pinggan mangkuk berkenaan bagi menghidangkan juadah hari raya buat tetamu yang datang," katanya.

Menurutnya, rumah pusaka itu menyimpan banyak kenangan pahit manis buat mereka sekeluarga, bahkan satu 'telapak' keluarga besar yang masih tinggal di kampung berkenaan serta berdekatan," katanya.

"Sebelum ini saya tinggal di Melaka bersama isteri dan tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun tetapi awal tahun lalu, saya nekad untuk pulang dan menetap di kampung halaman.

"Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadan ini, saya tinggal di rumah bapa saudara saya bagi memudahkan urusan membantu kakak sepupu yang berniaga di Pasar Ramadan Pekan Rembau," katanya.

Rosli yang berniaga air kelapa secara kecil-kecilan berkata, petang kelmarin isterinya balik ke rumah itu untuk memberi makan kucing dan keluar selepas  memastikan setiap peralatan elektrik kecuali peti ais ditutup suis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Ridwan Abd Rahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 4.04 pagi dan tiba tujuh minit kemudian.

"Sebaik sahaja tiba, sepasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Halim Abd Malik melihat struktur rumah jenis separuh kekal itu telah musnah namun kita berjaya mengawal api dalam tempoh 10 minit.

“Bagaimanapun. punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih lagi dalam siasatan," katanya.

'Saya ingat dunia nak kiamat'

'Saya ingat dunia nak kiamat'
Keadaan sekitar Kampung Tahana selepas kejadian tanah runtuh itu.

JOHOR BAHRU - “Saya rasa dunia seperti mahu kiamat dan ini adalah detik yang menakutkan dalam hidup saya,” cerita Haerul Anwar Tamrin, 23, salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin, di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, enam rumah setinggan musnah sehingga menyebabkan kerugian yang dianggarkan lebih kurang RM30,000.
Menurut Haerul Anwar yang bekerja sebagai buruh berkata, dia bersama neneknya, Zubaidah Muin, 70 serta mak saudaranya, Nor Azizah Jalil, 23 sedang berehat di bilik masing-masing dan sebelum terasa rumah mereka bergegar seperti dilanda gempa bumi.
“Bekalan elektrik terus terpadam dan dalam keadaan panik, perkara pertama yang saya fikir adalah untuk selamatkan nenek saya kerana dia telah terperangkap dan lemas dalam biliknya sebelum terdengar jeritan mak cik minta tolong.
“Pintu rumah dan bilik sudah tidak boleh terbuka. Saya terpaksa menggunakan tangan dan kaki saya untuk pecahkan tingkap bagi keluarkan nenek dan masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan mak cik saya pula.
“Kemudian, saya melihat keadaan huru-hara di luar rumah dan jiran-jiran saya turut berusaha menyelamatkan diri masing-masing. Rumah yang keluarga saya diami sejak 28 tahun itu ranap sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Persiapan kahwin rosak
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, operator kilang, Nor Halis Hasnawi, 24 yang bakal mendirikan rumah tangga November ini tidak dapat menahan air mata selepas segala persiapan perkahwinannya tidak dapat diselamatkan.
“Pada masa itu, saya seorang diri di rumah kerana ibu saya ke rumah kakak dan saya bernasib baik kerana terdengar jeritan jiran-jiran meminta tolong buatkan saya sedar kejadian itu.
“Sebelum ini, tiga kejadian tanah runtuh kecil pernah berlaku di jalan utama rumah kami sekitar April dan Mei lepas dan aduan telah dibuat kepada pihak pemaju yang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Shahrulimah Ikhsan, 39 berkata, dia dan keluarga buntu memikirkan nasib mereka kerana rumah berkenaan satu-satunya peninggalan keluarga mereka dan telah mendiami rumah itu sejak berumur sembilan tahun lagi.
Ibu kepada anak lima berumur lima hingga 21 tahun itu memberitahu ketika kejadian, suaminya Sukriadi Abdul Ramas, 55, baru pulang ke rumah dan secara tiba-tiba mereka terdengar seperti hujan batu dan terus keluar untuk menyelamatkan diri masing-masing.
“Saya tidak tahu bagaimana nasib kami selepas ini kerana kebanyakan saudara saya tinggal jauh. Mungkin duit simpanan untuk persiapan Aidilfitri ini akan digunakan untuk membaiki rumah yang rosak teruk itu dahulu,” katanya.


Bantuan segera dihulurkan
Nasib yang menimpa enam keluarga itu turut mendapat perhatian Pengerusi Kebajikan Parlimen Johor Bahru, Faridah Mustafa yang turun padang menghulurkan bantuan kecemasan berjumlah RM500 bagi setiap keluarga serta pakaian terpakai untuk mereka.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka. Kita akan merujuk perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (I) Johor Baharu Selatan, Superintenden Abdul Wahib Musa berkata, kejadian tersebut melibatkan 24 mangsa yang  terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan perempuan serta empat kanak-kanak.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa  terselamat dalam kejadian itu. Mangsa terdiri daripada warga Indonesia yang bermastautin tetap di sini dan telah mendiami rumah yang didirikan sebagai rumah setinggan.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000 melibatkan enam rumah dan tiga buah motosikal tertimbus,”  katanya.


Masih berisiko runtuh
Abdul Wahib, pihak polis akan menghubungi pejabat tanah bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil, selain memanggil Syarikat Air Johor Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Bhd bagi memastikan bekalan air dan elektrik dapat disambung semula setelah terputus bekalan akibat kejadian itu.
“Pihak bomba telah membuat kajian awal dan mendapati struktur tanah masih berisiko untuk menghadapi kejadian tanah runtuh lagi terutama sekiranya kawasan kampung itu mengalami hujan.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan seterusnya dan akan menghubungi pihak kontraktor pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan kepada mereka bahawa kerja-kerja mungkin patut diberhentikan sementara waktu untuk menilai risiko keruntuhan tanah ini,” katanya.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tapak pembinaan yang dipercayai dijadikan kedai dan restoran bersebelahan kampung berkenaan telah didiami lebih 20 tahun dan mempunyai 31 rumah serta dihuni kira-kira 200 orang penduduk.
Sementara itu, Komander operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Nazaruddin Yusoff berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan 1.04 pagi, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dengan kekuatan enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba 14 minit kemudian.
“Operasi kemudian berjaya ditamatkan kira-kira jam 2.13 pagi dan 10 rumah di kawasan berdekatan disarankan untuk berpindah kerana keadaannya yang tidak selamat untuk didiami,” katanya.


Penduduk diarah pindah
Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri akan memindahkan dua keluarga mangsa (warga tempata) kejadian tanah runtuh itu ke rumah Projek  Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Abdul Latif Bandi, manakala, baki, empat lagi keluarga yang merupakan bukan warga negara ini akan akan dirujuk dengan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, bagaimanapun, kira-kira 200 lagi penduduk yang berhampiran di kawasan kejadian tanah runtuh itu akan diarahkan supaya segera berpindah kerana lokasi tersebut berbahaya untuk didiami.
“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat enam rumah yang terlibat dalam kejadian tersebut dan penghuni dua buah rumah terlibat merupakan rakyat tempatan, manakala penghuni empat lagi merupakan rakyat asing.
“Dalam masa yang sama, kita minta juga penduduk sekitar kawasan ini agar segera berpindah dan sekiranya mereka enggan, kita akan keluarkan notis perpindahan untuk tempoh 14 hari.
“Kita khuatir kejadian seperti ini akan berulang kerana kawasan ini bukan sahaja tidak selamat untuk tinggal, malah ia adalah kawasan tanah rizab milik kerajaan,” katanya kepada media ketika membuat lawatan ke lokasi kejadian itu, di sini, semalam.
Abd Latif juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pejabat Tanah dan Galian untuk menyiasat insiden tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana kejadian ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambakan tanah di kawasan itu.
“Difahamkan pemaju yang melakukan penambakan di situ telah membuat permohonan dengan MBJB, namun ianya ditolak dan mereka  telah membuat penambakan dengan membuang sisa bahan binaan di situ sejak 2013.
“Kita akan siasat adakah ia melanggar peraturan, kalau ikut laporan pejabat tanah, kawasan itu digunakan untuk buang bahan binaan. Jadi, kita kena siasat itu semua dengan terperinci termasuk adakah mereka mohon untuk buat kerja penambakan.
“Mereka boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM50,000 jika mereka didapati bersalah di bawah Akta Parit, Jalan dan Bangunan 133,” katanya.

Seorang maut, tiga cedera kemalangan dua kereta

kemalangan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda Civic dan Proton Sateria di Kilometer 16, Jalan Pontian-Kukup dekat Pontian, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Deputi Superintendan, Jokhiri Abdul Aziz berkata dalam kejadian 6.50 pagi itu, pemandu Honda Civic Tan Wai Seng, 18, maut di tempat kejadian.

"Mereka yang cedera pula adalah dua adik perempuan Tan iaitu Tan Hui Shan, 17 dan Tan Si Sian, 15, serta lelaki yang memandu Proton Satria berkenaan, Ruazhar Razali, 36," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jokhiri berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Honda Civic yang dalam perjalanan dari Kukup ke Pontian itu terbabas dan masuk ke arah bertentangan ketika memotong kenderaan lain.

Beliau berkata kereta itu kemudian dilanggar di bahagian kanan oleh Proton Satria dari arah bertentangan.

Beliau berkata mayat dan kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Pontian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama

Mayat tanpa tangan, kaki dipercayai dibaham buaya

PDRM

BELURAN - Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya ditemukan terapung di Sungai Paitan di Kampung Kabuluh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Sivanathan Velautham berkata mangsa dikenali sebagai Ramsah Alau, 57, dan mayatnya ditemukan pada kira-kira 7.40 pagi oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya semalam anak perempuan mangsa melaporkan bapanya keluar rumah pada pukul 9 pagi semalam untuk menebas rumput di kawasan kebun berhampiran rumah lama mereka di kampung itu.

Bagaimanapun, katanya sehingga pukul 3 petang, mangsa belum balik ke rumah dan anak perempuan itu meminta bantuan penduduk kampung mencari bapanya.

Katanya penduduk kampung kemudian menemukan selipar berwarna biru dan topi putih milik Ramsah di tebing sungai berhampiran kebunnya.

Sivanathan berkata pada pukul 5.35 petang, pihaknya telah dimaklumkan oleh dua penduduk kampung bahawa mereka ada ternampak seekor buaya yang timbul dan menggigit sesuatu objek seperti manusia berpakaian putih kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata susulan itu operasi mencari dilancarkan hari ini melibatkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Katanya polis telah menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah keselamatan berikutan insiden serangan buaya itu. - Bernama

Dipenjara kerana sebabkan kematian ibu, anak

Mahkamah

SHAH ALAM - Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggesa supaya satu formula dapat diambil bagi menangani masalah jenayah membabitkan warga asing di negara ini.

Hakim Datuk Ghazali Cha berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua warga Bangladesh, Abdul Razal Tofazzal Hossain dan MMD Ripon Mondal Krndabosos kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Mohd Shukri yang berusia dua tahun.

Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh setengah tahun ke atas Abdul Razal kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas ibu kanak-kanak itu, Suramlah Nidin, seorang warga Indonesia.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan iaitu pada 6 Ogos 2011.

Ghazali berkata dalam kes itu dua nyawa tidak berdosa telah melayang dan lebih kejam lagi mayat mangsa dipotong tanpa belas kasihan serta dicampak di bangunan kosong dan dalam bilik air.

"Walaupun sudah meninggal dunia, mayat kedua-dua mangsa berhak dihormati dan dilayani dengan baik. Kedua-dua tertuduh dan mangsa merupakan warga asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki.

"Bagaimanapun, akhir-akhir ini ini kejadian jenayah melibatkan warga asing begitu ketara menyebabkan indeks jenayah meningkat. Akibatnya pihak berkuasa terpaksa bekerja keras dan mahkamah dihujani banyak kes melibatkan warga asing," katanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan bersama-sama menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Mohd Shukri di Unit No: 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Astaria Apartment, Taman Kosas, Ampang dekat sini, kira-kira 11.30 pagi hingga 2 petang pada 29 Julai 2011.

Abdul Razal juga mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Suramlah, berusia 30-an, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Hukuman ke atas kedua-dua tertuduh diputuskan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka sebelum ini menghadapi pertuduhan asal iaitu membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 3 Ogos 2011, pengurus bangunan di apartmen itu telah menjumpai satu kaki sebelah kiri serta pangkal paha hingga ke jari kaki di tempat kejadian dan pemeriksaan oleh pihak forensik polis seterusnya menemui sebelah kaki kiri manusia, lengan tangan kiri, lengan tangan kanan, sangkar dada dan organ dalaman manusia di atas siling bilik air.

Turut ditemui di tempat sama ialah mayat kanak-kanak itu yang dalam keadaan sempurna dan pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui satu kepala manusia di dalam bantal peluk berbentuk panjang.

Siasatan mendapati pada hari kejadian, mangsa membawa anak lelakinya berjumpa kedua-dua tertuduh yang tinggal di Unit No: 36, bangunan sama, untuk melakukan hubungan seks dengan kedua-dua lelaki tersebut.

Pemeriksaan forensik telah menjumpai kesan darah milik wanita itu di dalam salah satu bilik di rumah yang didiami oleh kedua-dua tertuduh dan pada pisau yang dirampas dari rumah tersebut.

Sebab kematian kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni sementara Abdul Razal diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff dan MMD Ripon oleh peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi.  – Bernama 

Dua kanak-kanak maut dalam kemalangan di LPT

kemalangan

KUANTAN - Dua kanak-kanak maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Km 149.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, malam tadi.

Amat menyedihkan apabila mangsa maut setelah keluarga masing-masing pada awalnya memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan bagi memberikan bantuan kepada sebuah kenderaan lain yang terlibat dengan kemalangan dengan sebuah treler.

Mangsa yang maut ialah kanak-kanak perempuan, Nur Damia Batrisyia Paizo, 5, dari Kampung Tanjung Manggis, Dong, Raub dan Mohamad Akmal Naziq Noraidi, 11, dari Bangi, Selangor.

Ketua Turus Trafik Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, kemalangan melibatkan lima buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Lexus, Perodua Viva, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan sebuah treler.

"Kemalangan berlaku pada pukul 11.45 malam antara Plaza Tol Chenor dengan Maran, menghala ke Kuantan apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Mohd Solihin Mohd Hamdi, 28, seorang diri dari arah Kuala Lumpur melanggar belakang sebuah treler muatan jentera yang berada di lorong perlahan," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya ekoran kemalangan itu, Perodua Myvi itu telah berpusing dan melanggar besi tengah jalan dan berhenti melintang di lorong laju.

Beliau berkata pada masa sama kereta Perodua Viva dan Exora yang dinaiki mangsa bersama keluarga dari arah sama telah memperlahankan kenderaan dan memberhentikannya di lorong kecemasan bertujuan untuk membantu pemandu kereta Perodua Myvi.

Menurutnya, ketika itu Perodua Viva diletakkan di belakang MPV Exora di lorong kecemasan pada jarak lapan meter.

"Siasatan awal mendapati semasa membantu mengeluarkan pemandu Perodua Myvi itu terdapat penumpang kedua-dua kenderaan itu telah keluar berdiri di tepi longkang manakala sebahagian penumpang masih berada dalam dua kenderaan tersebut.

Kira-kira sepuluh minit kemudian datang sebuah Lexus yang dipandu Khairul Hilmi Che Nik, 31, dari arah sama cuba mengelak Myvi yang masih melintang di atas jalan namun gagal sebelum terbabas ke lorong kecemasan," katanya.

Katanya kenderaan itu kemudian telah melanggar belakang Viva menyebabkannya  terbalik menghempap Mohamad Akmal, penumpang Exora yang sedang berdiri di tepi longkang.

"Ekoran itu juga, rempuhan tersebut turut menyebabkan Nur Damia yang berada di dalam Perodua Viva itu terbunuh manakala empat lagi ahli keluarganya mengalami kecederaan.

Bagaimanapun pemandu Perodua Myvi, Lexus dan treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohd Noor berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh dan jenazah juga sudah dituntut keluarga masing-masing bagi urusan pengkebumian.

Katanya, pemandu Lexus dan Perodua Myvi terbabit telah ditahan untuk diambil keterangan dan akan dibuat ujian saringan air kencing bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Bernama

Sembilan Pati ditahan terbabit kes pemerdagangan

Khalid
Khalid

KUALA LUMPUR - Sembilan pendatang tanpa izin (Pati) dari Myanmar dan Bangladesh yang disyaki terbabit dalam kes pemerdagangan manusia ditahan di Kedah, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sembilan yang ditahan itu terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan dua warga Bangladesh.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini. Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan Pati berkenaan.

Penahanan itu menjadikan keseluruhan 19 orang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia sejak 10 Mei lepas, termasuk seorang lelaki warga tempatan dan dua warga Bangladesh yang didakwa pada 25 Jun.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengesan dalang utama kegiatan pemerdagangan manusia kerana kebanyakan mereka tidak berada dalam negara.

"Adalah menjadi satu cabaran bagi kami untuk membawa mereka ke sini untuk didakwa," katanya.

Menurut Khalid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi utama penguatkuasa undang-undang negara, menggesa anggotanya supaya memandang serius terhadap isu ini.

"Kita juga sedia maklum tentang Laporan Pemerdagangan Orang 2014 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia telah diturunkan kepada Tahap 3 atas kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum bagi penghapusan pemerdagangan manusia yang ditetapkan," katanya.

Berikutan itu, Malaysia perlu memenuhi standard yang ditetapkan berkenaan langkah yang perlu diambil dalam memerangi isu ini.

"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membanteras jenayah ini kerana ia dianggap zalim dan boleh dianggap sebagai perhambaan orang cara moden. Kami akan berusaha untuk berada di tahap yang lebih baik untuk memperbaiki kedudukan  dalam laporan berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata seminar ini bertujuan untuk menggariskan langkah yang perlu diambil PDRM bagi mengekang pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran yang semakin berleluasa ketika ini.

"Melalui seminar ini, kita melihat kembali apa yang telah kita lakukan dan apa yang perlu kita usahakan dalam menangani isu ni.

Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua peringkat kepimpinan bagaimana menghadapi ancaman jenayah ini," katanya.

Turut hadir pada majlis penutup seminar itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohmad Salleh.

Sejumlah 205 anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) serta Ketua-ketua JSJ seluruh negeri terlibat dalam seminar yang dijalankan sejak semalam. - Bernama

Dua beranak dipenjara terlibat aktiviti keganasan

Mahkamah

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dihukum penjara 18 tahun manakala anaknya penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Murad Halimmuddin, 49, atas pertuduhan berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan dan 18 tahun penjara lagi atas pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan yang sama.

Bagaimanapun, Murad yang bekerja sebagai penjual buah tembikai bernasib baik kerana mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 5 April lalu.

Mahkamah juga memerintahkan anaknya, Abu Daud, 25, menjalani hukuman penjara 12 tahun itu  bermula tarikh yang sama selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada perbuatan pengganas.

Kedua-dua beranak itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kamardin berkata mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk peranan kedua-dua tertuduh itu ketika melakukan kesalahan tersebut selain faktor rayuan yang dikemukakan.

"Saya berhadapan tugas berat untuk menjatuhkan hukuman yang bersesuaian selepas mensabitkan kesalahan itu terhadap tertuduh. Mahkamah memandang serius kesalahan ini kerana boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Pada 30 April lalu, Murad dan anaknya didakwa bersama-sama empat lagi di Mahkamah Sesyen Alor Setar, namun pada 31 Mei mahkamah memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Dua beranak tersebut didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Murad turut berhadapan pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan keganasan pada 29 Mac tahun ini di alamat yang sama pada 29 Mac tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memohon hukuman penjara yang maksimum atas alasan kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan serius dan berat.

Mengikut fakta kes, Murad, yang baru pulang dari Syria setelah berapa lama menjadi pejuang kumpulan militan IS,  keluar dari negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk ke Bangkok, Thailand pada 27 Ogos, 2014 sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul pada 31 Ogos, 2014.

Ketika di Turki dia menyelinap masuk ke Syria dengan bantuan seorang lelaki bernama Abu Nour, dan semasa di Syria tertuduh menyertai kumpulan militan dan dibekalkan dengan senjata api bagi tujuan berjuang.

Tertuduh kemudiannya telah pulang ke Kedah melalui Bangkok dan menetap di Pendang, Kedah.

Pada 30 Jan lepas, Murad dan anaknya mengadakan pertemuan dengan beberapa individu lain dan kedua-dua tertuduh berpakat dengan beberapa anggota kumpulan militan IS di Syria untuk merekrut sekurang-kurangnya 20 individu bagi melancarkan jihad di Malaysia.

Pada perbincangan itu, anaknya Abu Daud mencadangkan supaya menculik beberapa pemimpin negara untuk dijadikan tebusan bagi membebaskan tahanan Sosma yang terlibat dalam aktiviti keganasan, yang ditahan sebelum ini.

Mereka turut berbincang untuk merompak senjata di kem Hobart milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gurun dan di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah.

Selepas mencapai jumlah merekrut tersebut, mereka bercadang untuk melakukan rompakan van keselamatan yang turun membawa wang tunai dari Genting Highlands bagi mengumpul dana untuk membiayai misi jihad mereka.

Anak beranak itu ditangkap ketika sedang menjual buah tembikai di gerai buah buahan mereka di Kedah dan tangkapan itu berkaitan maklumat mengenai pakatan untuk melakukan kekacauan di negara ini.

Terdahulu,  dua beranak itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan Murad masih mempunyai hutang dan menanggung enam anak yang masih belajar, menghidap penyakit buah pinggang, jantung dan kencing manis manakala Abu Daud perlu menanggung tiga anak yang masih kecil. - Bernama

Tiga lelaki berdepan hukuman mati kerana menculik

 MUAR - Tiga lelaki hari ini berdepan dengan hukuman mati apabila dituduh di Mahkamah Majistret di sini menculik seorang wanita bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM400,000 dalam kejadian pada bulan lepas.

M. Premi Segar, 33, P. Raymond Raj,  21, dan T. Sanjiv Kumar, 20, masing-masing mengaku faham pertuduhan itu apabila kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka dengan niat bersama pada 6 Mei lalu kira-kira pada pukul 10 malam telah menahan seorang wanita berumur 25 tahun di tempat letak kereta Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, dengan cara melarikannya secara salah.

Kesemua mereka bertindak menahan wanita itu untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM400,000, dan dengan itu mereka telah didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (semakan 1989) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Tertuduh pertama yang merupakan peniaga, diwakili peguam Maniam Nair, tertuduh kedua iaitu seorang mekanik oleh Mahesh Mahadevan, manakala tertuduh ketiga iaitu pemandu lori, tidak diwakili peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Shaarmini. - Bernama

Empat pejuang Taliban terbunuh di Lahore

Empat pejuang Taliban terbunuh di Lahore
Komando Pakistan menyerbu sebuah rumah yang digunakan pejuang Taliban di pinggir Lahore, awal pagi semalam. - Foto AFP

LAHORE - PAKISTAN . Polis Pakistan dan pasukan memerangi keganasan menyerbu sebuah rumah di timur Lahore awal pagi semalam,  membunuh empat anggota militan," kata pegawai.
 
Serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat kehadiran pejuang Taliban di kawasan kejiranan Pathan Colony di badar Ferozewala, kira-kira 18 kilometer (km) dari utara wilayah Punjab.
 
"Kami mempunyai maklumat risikan mengenai kehadiran suspek militan di kawasan itu dan apabila polis dihantar ke sana, suspek melepaskan tembakan ke arah mereka.
 
"Tiga militan terbunuh dan seorang lagi bertindak meletupkan diri. Dua yang lain cedera dan telah ditahan," kata Menteri Dalam Negeri Punjab, Shunja Kahnzada.
 
Menurutnya, kumpulan itu menganggotai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang berpangkalan di sempadan Afghanistan.
 
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga jaket pengebom berani mati, satu pelancar roket dan lima senapang Kalashnikov. - AFP

Terapi menelan ikan sardin rawat asma

Terapi menelan ikan sardin rawat asma

LUPAKAN inhaler kerana kaedah rawatan yang diamalkan di selatan bandar Hyderabad ini sememangnya dinantikan oleh penghidap asma di India pada setiap tahun.
Terapi menelan ikan sardin atau haruan berukuran kira-kira 5 sentimeter secara hidup-hidup dengan campuran formula herba rahsia itu disediakan secara turun temurun oleh keluarga Bathini Goud sejak 1845.
Ia dipercayai dapat melancarkan pernafasan penghidap asma dan keberkesanannya turut diakui oleh penduduk tempatan lapor DailyMail.
Bagaimanapun, individu yang melakukan rawatan tersebut perlu mengamalkan diet yang ketat selama 45 hari dan setiap bulan Jun, ribuan penduduk dari seluruh India sanggup bersesak-sesak untuk mendapatkan rawatan percuma yang diberikan selama dua hari itu.
Kerajaan India juga mengatur kereta api khas untuk penduduk yang mahu menyertai 'festival telan ikan hidup-hidup' tersebut selain turut menempatkan anggota keselamatan tambahan bagi mengawal orang ramai. 

Pesawat tentera Indonesia terhempas

Pesawat tentera Indonesia terhempas
Keadaan pesawat yang dilaporkan terhempas di kawasan kediaman penduduk.

JAKARTA - INDONESIA . Sebuah pesawat tentera Indonesia Hercules C-130 dilaporkan terhempas ke dalam kawasan perumahan di bandar Medan, Sumatera.
 
Televisyen Indonesia menyiarkan imej kabur dari bandar pesawat terhempas dan terbakar itu.
 
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku pada jam 12.08 tengah hari.
 
Memetik laporan Kompas.com, Mejar Jeneral Fuad Basya mengesahkan insiden itu tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.
 
"Pesawat tersebut terhempas pada jam 12.08 tengah hari ini selepas 2 minit berlepas dari pangkalan udara.
 
"Bagaimanapun punca nahas masih belum diketahui dan proses siasatan akan dijalankan.", katanya.
 
Difahamkan pesawat tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Tanjung Pinang.
 
Jumlah orang yang berada di dalam pesawat masih belum diketahui dan pihak tentera sedang masih mengumpulkan maklumat penerbangan tersebut.

Setakat ini,  menurut jurucakap Hospital Adam Malik, Sairi M. Saragih, pihaknya telah menerima lima mayat mangsa nahas. 

Nahas Hercules: 113 dipercayai terkorban

Nahas Hercules

JAKARTA - INDONESIA. Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) Marshal Agus Supriatna mengesahkan pesawat Hercules milik TNI AU yang terhempas di Medan hari ini membawa 113 penumpang dan kesemua mereka dipercayai terkorban dalam tragedi itu.
  
Katanya, daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah anggota tentera iaitu empat pegawai termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang manakala lapan lagi adalah juruteknik tentera.
  
Pesawat itu juga membawa penumpang awam dan kebanyakan mereka dipercayai keluarga anggota tentera namun status mereka masih dalam siasatan.
  
"Jumlah semuanya 113 penumpang. Kalau yang selamat tak ada. Jenazah baru ditemukan 49 orang. Ini saya mau mengecek (periksa) ke Rumah Sakit Adam Malik," katanya seperti yang dipetik oleh siaran televisyen berita Metro TV.
  
Agus juga berkata, setakat ini terdapat laporan 23 jenazah telah dikenal pasti namun nama mereka belum dapat diumumkan lagi.
  
Pihak berkuasa juga mengesahkan antara mayat yang ditemui termasuklah kanak-kanak yang dipercayai berumur bawah lima tahun.

Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI AU terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan,  Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.
  
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.
  
Menurut saksi, pesawat itu meletup sebelum terhempas dan sebahagian badan pesawat menimpa beberapa buah bangunan rumah kedai termasuk bangunan bernama BS Okup iaitu sebuah pusat perubatan tradisional.
  
Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan dipercayai masih ramai mangsa orang awam yang terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan atau badan pesawat itu. - Bernama

Empat termasuk bayi maut letupan gas di Sepanyol

Empat termasuk bayi maut letupan gas di Sepanyol
Letupan berlaku di kawasan luar bandar di timur Villajoyosa.

MADRID - SEPANYOL. Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang bayi perempuan terbunuh dalam letupan gas di sebuah rumah hari ini.

Jurucakap Pengawal Awam Sepanyol berkata, letupan itu berlaku pagi Selasa di sebuah rumah di kawasan luar bandar di  timur Villajoyosa.

Jurucakap berkata,  mayat dua wanita, seorang lelaki dan seorang bayi ditemui di tempat kejadian dan pertalian antara keempat-empat mangsa masih belum diketahui.

Memetik laporan AP, letupan yang berlaku dipercayai disebabkan kebocoran gas.

Terkejut 'diserang' mata gergaji gergasi

Terkejut 'diserang' mata gergaji gergasi

GUIZHOU - CHINA. Seorang lelaki Cina nyaris maut apabila keretanya 'diserang' oleh mata gergaji gergasi di sebatang jalan Chongqing-Guizhou, di sini.

Memetik laporan The Telegraph, lelaki itu yang dikenali sebagai Xiang berkata, mata gergaji itu jatuh daripada sebuah trak lalu 'menghiris' bahagian depan keretanya.

"Saya mendengar sesuatu yang kuat apabila sebuah trak yang membawa mata gergaji hilang kawalan, trak itu membawa mata gergaji dengan ukuran diameter 1.5 meter dan salah satunya meluncur ke arah kereta saya.

“Saya hampir kehilangan kereta saya," ujarnya.

Mata gergaji gergasi itu telah memotong kira-kira 60 sentimeter bahagian hadapan kereta Xiang. Menurut polis, Xiang tidak mengalamai sebarang kecederaan.

Korban suhu panas lebih 1,000

Karachi: Jumlah kematian akibat gelombang haba di Pakistan menjangkau 1,000 orang semalam.
Pihak berkuasa menjangka jumlah itu akan meningkat.
Sementara itu, awan dan suhu lebih rendah di Karachi membawa sedikit kelegaan kepada penduduk di bandar yang paling teruk mengalami fenomena itu.
Rumah mayat dan penggali kubur di Karachi - bandar terbesar dan hab ekonomi Pakistan - tidak menang tangan dengan jumlah mayat yang semakin bertambah sejak suhu panas luar biasa melanda hujung minggu lalu.
Hospital juga berdepan dengan krisis sementara pusat rawatan strok haba didirikan di sekitar bandar itu untuk merawat puluhan ribu penduduk yang terkesan.
Jurucakap badan kebajikan terbesar Pakistan Yayasan Edhi, Anwar Kazmi berkata: “Jumlah kematian menjangkau 1,000 dan dijangka meningkat sehingga 1,500.”
Berdasarkan pemeriksaan AFP di hospital sekitar Karachi, 1,079 dipercayai mati akibat gelombang haba itu.
Hospital di Karachi merawat hampir 80,000 orang setakat ini.
Selepas beberapa hari mengalami cuaca lebih 40 darjah Celsius, tiupan angin laut dan kehadiran awan mengurangkan sedikit kepanasan di bandar pelabuhan itu sejak dua hari lalu.
Jabatan Kaji Cuaca meramalkan suhu sekitar 34 darjah Celsius semalam dengan 75 peratus ruang udara bandar raya itu dilitupi awan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:18 AM


SEORANG lelaki menyejukkan badannya di kawasan berlopak di jalan raya di Karachi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60236#sthash.cZ4flPyn.dpuf

Mengaku bunuh lapan anak

Paris: Seorang jururawat Perancis yang dituduh membunuh lapan bayinya sebaik dilahirkan mengaku semua anak itu hasil hubungan sumbang mahram dengan ayahnya sejak sekian lama.


Kes yang dilabel pembunuhan bayi paling buruk dalam sejarah Perancis menggemparkan negara itu selepas mayat bayi itu ditemui di halaman rumah keluarga terbabit di Villers-au-Tertre berhampiran Lille pada 2010.
Perbicaraan terhadap Dominique Cottrez, 51, itu bermula semalam di bandar Douai.
Dia mengaku tidak bersalah atas pelbagai tuduhan pembunuhan kanak-kanak tahap pertama.
Dia yang mempunyai dua anak perempuan dan beberapa cucu akan menghabiskan sisa hayatnya di penjara jika didapati bersalah.
Dominique mengaku kepada penyiasat bahawa dia mengandungkan lapan bayi dalam tempoh lebih sedekad dan semuanya dibunuh sebaik dilahirkan.
Kejadian berlaku antara 1989 hingga 2007 dan Dominique mengebumikan dua bayinya di halaman rumahnya manakala enam yang lain disimpan dalam beg plastik sampah di rumah keluarga itu.
Saiz badannya yang besar dengan berat 127 kilogram memudahkan dia menyembunyikan kehamilan itu daripada suaminya Pierre-Marie dan anak mereka.
Dominique mendakwa hamil hasil hubungan sumbang mahram dengan bapanya, petani Oscar Lempereur sejak kecil lagi.
Pada 2010, ketika mayat bayi berkenaan ditemui, dua anak perempuan Dominique, Emeline dan Virginie memberi sokongan moral kepada ibu mereka.
Emeline yang kini berusia 27 tahun tinggal di rumah ibunya bersama anak lelakinya.
Pada mulanya Dominique dipercayai membunuh bayi berkenaan kerana tidak mahu anak lagi dan tidak mahu memakan pil perancang.
Suaminya pada mulanya disyaki bersubahat menyorok mayat berkenaan dan tidak melaporkan perbuatan Dominique, namun dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Mayat berkenaan ditemui secara kebetulan selepas Dominique sekeluarga berpindah ke rumah baru. Pemilik baru kediaman yang dihuni keluarga terbabit sehingga 1991 menemui dua sisa mayat ketika membina kolam itik.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:20 AM





Dominique di mahkamah, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60245#sthash.xzw5f5GN.dpuf