Search This Blog

Monday, May 25, 2015

Syarikat Axact Pakistan jual sijil palsu?


25 Mei 2015 12:14 AM


KARACHI 24 Mei – Beberapa orang wartawan kanan stesen televisyen Bol di Pakistan, semalam mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam satu lagi tindakan yang berkait rapat dengan krisis dialami syarikat induk stesen televisyen berkenaan iaitu Axact yang terlibat dalam skandal penjualan sijil palsu.
Akhbar The New York Times melaporkan, keputusan peletakan jawatan itu, yang diketuai Ketua Pengarang Bol, Kamran Khan itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Dalam Negeri Pakistan, Chaudhry Nisar Ali Khan mengumumkan bahawa kerajaan Pakistan akan meluaskan siasatan ke atas Axact dan berhasrat untuk mendapatkan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Interpol.
Axact berada di bawah pengawasan pihak ber­kuasa selepas penyiasat persekutuan bertindak me­nyerbu pejabat syarikat berkenaan, Selasa lalu selepas sebuah artikel diterbitkan di akhbar The New York Times menunjukkan bagaimana syarikat perisian itu menjana pendapatan berjuta dolar dengan menjual sijil palsu.
Skandal yang menimpa syarikat yang berpangkalan di Karachi itu kini bukan sahaja menghantui kira-kira 2,000 orang kakitangan syarikat Axact tetapi juga kakitangan stesen televisyen Bol.
Selain Kamran Khan, individu lain yang turut meletakkan jawatan ialah Presiden Bol, Azhar Abbas dan sekurang-kurangnya tiga lagi wartawan kanan yang menyertai syarikat tersebut beberapa tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Chaudhry semalam berkata, siasatan awal yang dijalankan telah membongkarkan beberapa isu ‘serius dan bukti besar’ tentang jenayah Axact.
“Saya berharap FBI, Interpol dan pihak berkuasa undang-undang Britain dapat memberikan maklumat kepada kami berkenaan universiti-universiti yang terlibat dalam skandal ini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman web.
“Siasatan mungkin akan diperluaskan untuk menentukan sama ada berlaku pengubahan wang haram dan memfailkan laporan itu sebagai perbuatan jenayah. Semua ini akan dijalankan dalam 10 hari akan datang,” jelas Chaudhry.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syarikat-axact-pakistan-jual-sijil-palsu-1.95381#sthash.aDBUpeJI.dpuf

No comments:

Post a Comment