Search This Blog

Sunday, May 3, 2015

Nepal tumpu agih makanan


SEORANG lelaki mengutip semula beras dari kawasan rumahnya yang runtuh akibat dilanda gempa bumi di Bhaktapur, Nepal semalam. - REUTERS


KATHMANDU – Kerajaan Nepal mula mengalih tumpuan daripada operasi mencari dan menyelamat kepada menyalurkan bekalan makanan serta barangan keperluan selepas seminggu gempa bumi melanda negara itu.
Para pegawai berkata, pada masa ini proses mengagihkan barangan keperluan tidak begitu berkesan kerana keutamaan diberikan kepada operasi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan akibat gempa pada 25 April lalu.
“Sukar untuk mengendalikan dua perkara dalam satu masa. Oleh itu, fokus kini akan diberikan kepada kerja-kerja menyalurkan bantuan,” kata Ketua Angkatan Tentera Nepal, Jeneral Gaurav Shumsher Rana.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memberitahu bahawa Nepal masih belum menerima bantuan dalam bentuk wang daripada penderma antarabangsa.
Nepal pada masa ini telah mengeluarkan dana sendiri sebanyak AS$15 juta (RM53.9 juta).
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Dhakal pula mengesahkan jumlah kematian sehingga kelmarin meningkat kepada 6,624 orang, manakala lebih 14,000 orang cedera.
“Keutamaan sekarang adalah terhadap penghantaran makanan dan barangan keperluan terutama di daerah yang terjejas teruk seperti Dolakha dan Sindhupalchowk,” kata Dhakal.
“Bagaimanapun kita tetap akan membantu jika ada laporan mengenai mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan. Adalah suatu yang luar biasa jika ada yang terselamat selepas seminggu gempa melanda,” katanya lagi.
Gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud pada 25 April lalu merupakan yang terbesar melanda Nepal selepas kali terakhir berlaku lebih 80 tahun lalu. – Dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Z1udr7zU 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment