Mereka melakukan demikian ba­gi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan kegiatan ha­ram mereka, iaitu melakukan pe­nangkapan ikan secara haram dan menjalankan transaksi jual beli di te­ngah laut.
Kapal itu disenaraikan oleh Suruhanjaya Perlindungan Sumber Kehidupan Laut Antartic (CCAMLR) sebagai diburu atau dikehendaki kerana sering bertukar-tukar nama kapal berjaya.
Namun, kegiatan mereka dan ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili di perairan Pengerang, Sabtu lalu.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Am­ran Daud berkata, kapal ikan laut dalam yang didaftarkan di Lagos, Nigeria itu ditahan pukul 1 petang kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran.
“Ketika ditahan, krew kapal sedang memindahkan ikan ke atas sebuah bot tunda ALM 1008 di kedudukan 3.5 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup.
“Penahanan kapal berkenaan sekali gus berjaya mematahkan sindiket kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal,” katanya da­lam sidang akhbar, di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati kapal tersebut membawa kira-kira 330 tan metrik ikan kerapu dianggarkan bernilai jutaan ringgit dipercayai untuk dipasarkan ke Jepun, Hong Kong dan Taiwan.
“Kapal tersebut membawa seramai 38 krew terdiri daripada 25 warga Indonesia, empat Sepanyol, tujuh Senegal dan dua Chile yang berusia 22 hingga 24 tahun.
“Bot tunda itu berdaftar di Ta­rawa, Kirabati dan tidak membawa sebarang dokumen dengan menunda sebuah tongkang, Asia Link, dilengkapi sebuah kren. Terdapat sembilan krew terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang Singapura berusia 26 hingga 52 tahun,” katanya.
Amran berkata, tiga krew kapal FV Perlon dan dua ALM 1008 dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, penahanan itu ha­sil maklumat perisikan Cawa­ngan Siasatan Jenayah Maritim Malaysia Putrajaya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B (1) (l) iaitu berlabuh tanpa kebenaran dan Seksyen 491B (1) (k), iaitu melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 dan sekiranya bersalah di bawah Seksyen 16 Akta Perikanan 1985, iaitu memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran boleh didenda tidak lebih RM1 juta,” katanya.