Search This Blog

Tuesday, May 12, 2015

Jasad kembar dalam almari

Georgetown: Kejam. Hanya itu ungkapan sesuai buat individu yang sanggup membuang bayi kembar dalam almari kayu di tingkat tujuh Kompleks Mutiara, Lebuh Maccalum, di sini, semalam.
Bayi kembar perempuan yang masih bertali pusat dan uri itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam keadaan mengiring oleh tukang cuci yang kebetulan melakukan kerja pembersihan di kawasan terbabit jam 11 pagi.
Perbuatan itu dianggap tidak berperikemanusiaan kerana bukan seorang, malah dua nyawa menjadi mangsa kekejaman individu terbabit yang disifatkan sebagai zalim.
Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 35, berkata, dia terkejut selepas diberitahu ada mayat bayi ditemui di tingkat tujuh pangsapuri berkenaan.
Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan sejurus tiba, hatinya sayu apabila melihat mayat kembar terbabit kerana pada mulanya disangkakan hanya seorang bayi yang dibuang.
“Saya menjadi sebak dan pilu apabila melihat dua mayat bayi dalam keadaan mengiring hanya dibaluti tuala ditinggalkan dalam almari kayu terbabit.
“Saya turut geram kerana ada individu sanggup melakukan perbuatan kejam seperti itu dan jika tidak mahu bayi berkenaan sekalipun, mungkin dia boleh memberikannya kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat bayi kembar berkenaan ditemui tukang cuci lelaki warga asing sebelum dia memaklumkan kepada majikannya.
“Siasatan mendapati bayi kembar terbabit dilahirkan cukup sifat sebelum ditinggalkan individu berkenaan dalam almari kayu yang tidak digunakan berhampiran lif pangsapuri itu.
“Setakat ini, siasatan awal mendapati suspek kemungkinan warga asing dan kami berusaha mengesan individu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, bayi kembar terbabit kemungkinan dibuang suspek ketika awal pagi berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada mayat kembar terbabit dan hasil bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati mangsa kembar seiras dan berusia lingkungan 28 minggu (tujuh bulan).
“Laporan bedah siasat juga mendapati pasangan kembar itu meninggal dunia ketika lahir,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 11:47 AM


MAYAT bayi kembar yang ditemui dibuang dalam almari kayu di Kompleks Mutiara, Lebuh Maccalum, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50326#sthash.lQyi94B7.dpuf

No comments:

Post a Comment