KEMAMAN - Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Rosli Othman melahirkan rasa sedih dan kecewa di atas kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) sehingga meragut empat nyawa petang semalam.
  
Beliau berkata jika semua mengguna LPT berkenaan mengamalkan sikap berhati-hati dan berwaspada, kemalangan boleh dielakkan.    

"Walaupun LPT2 itu telah dibuka kepada semua pengguna jalan raya, namun ia masih lagi diselenggarakan kerana ada tempat tempat di LPT itu keadaan permukaan jalannya tidak rata.
  
"Saya sangat simpati terhadap kemalangan yang berlaku petang semalam sehingga meragut empat nyawa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah mampu milik dan geran rancangan tanah berkelompok (RTB) Gong Cengal, Kemasik dekat sini hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, empat orang daripada satu keluarga dari Kadok, Kelantan, maut apabila kereta yang dinaiki berhenti di tepi lebuh raya berkenaan kerana rosak sebelum dirempoh oleh sebuah lori hingga terbakar, dalam kemalangan ngeri itu.

Rosli berkata sebelum ini beliau telah beberapa kali mengingatkan pengguna LPT2 itu supaya berhati-hati terutama kepada mereka yang tidak biasa dengan jalan berkenaan.

Katanya sebelum ini beberapa kemalangan maut telah berlaku di LPT2 itu sejak ia dibuka pada Dis lepas.
  
Sementara itu mengenai pengagihan rumah mampu milik berkenaan, beliau berkata sejumlah 200 orang pemohon yang layak menerima kunci rumah bagi kumpulan kedua itu.
  
"Masih ada kira-kira 100 unit lagi yang akan kita agihkan tidak lama lagi selepas baik pulih ke atas rumah-rumah berkenaan disempurnakan, ini kerana rumah-rumah itu ada yang rosak serta perkakasnya dicuri," kataya.
  
Pada majlis itu Rosli turut mengagihkan geran RTB kepada 223 pemohon dari daerah Kemaman.
 
Tiga kawasan RTB yang terlibat iaitu di Kampung Labuhan melibatkan 41 peserta, Gong Cengal (124 peserta) dan Kampung Batu Puteh (58 peserta). - Bernama