Search This Blog

Sunday, May 31, 2015

Makmal dadah di rumah inap desa diserbu


ALOR SETAR 30 Mei – Kegiatan sebuah makmal memproses dadah di negeri ini berjaya dibongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah inap desa di Jalan Langgar di sini hari ini.
Menurut sumber polis, selain menumpaskan aktiviti haram makmal tersebut, dadah jenis heroin lebih daripada 20 kilogram berjaya dirampas dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu.
“Serbuan ini digerakkan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan ketika serbuan dijalankan ada di antara suspek tersebut yang sedang memasak sesuatu dipercayai dadah.
“Terdapat kelengkapan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber itu, salah seorang daripada suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.
Difahamkan, satu sidang akhbar mengenai kejayaan polis membongkar makmal dadah itu akan dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah esok.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/makmal-dadah-di-rumah-inap-desa-diserbu-1.97476#sthash.K8g1TL0K.dpuf

51 ditahan sertai parti liar


KUALA LUMPUR 31 Mei - Seramai 51 individu termasuk 17 wanita yang sedang leka menari dalam parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Imbi, di sini ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, antara ditahan dalam serbuan selama empat jam itu ialah tiga pelajar sekolah menengah dan empat penuntut universiti.
“Ketika ditahan beberapa individu termasuk kumpulan pelajar terbabit yang berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun berada dalam keadaan khayal disyaki mengambil dadah jenis syabu dan ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Operasi yang berakhir pada pukul 4 pagi itu melibatkan seramai 10 orang pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Menurut Zainol, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kumpulan pelajar tersebut mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Turut ditahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai bertindak sebagai penganjur dan kita merampas 16 peket kecil berisi syabu dan satu bungkusan berwarna perang dipercayai ganja.
“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala penganjur parti itu disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/51-ditahan-sertai-parti-liar-1.97424#sthash.PDeH0S9G.dpuf

Lelaki Nepal parah ditetak rakan senegara


ALOR SETAR 30 Mei – Seorang lelaki warga Nepal cedera parah akibat ditetak dengan menggunakan pisau pemotong daging setelah terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang rakan senegaranya di sebuah rumah kedai di Taman Bandar Baru, Mergong, di sini semalam.
Suspek
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, Nima Helmu, 26, ditetak sehingga retak tempurung kepalanya oleh suspek yang berusia 23 tahun ketika kedua-dua mereka dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 10.20 malam dan anggota polis telah diarahkan untuk ke lokasi kejadian.
“Apabila polis tiba mangsa didapati dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan mangsa telah menunjukkan kepada anggota polis suspek yang mencederakannya.
“Pihak polis menangkap suspek dan sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan oleh suspek turut dirampas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Adzaman, mangsa dan suspek telah tinggal di negara ini hampir lima tahun dan motif kejadian masih disiasat.
“Rumah kedai tersebut dijadikan asrama pekerja sebuah kilang beras dan seramai 15 warga Nepal tinggal di situ.
“Mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-nepal-parah-ditetak-rakan-senegara-1.97485#sthash.Ami3sxXy.dpuf

Saturday, May 30, 2015

100 mati sehari

Hyderabad: Cuaca panas yang melanda sebahagian India menyebabkan ratusan ribu kampung di negara itu berdepan dengan kekurangan bekalan air dan meragut nyawa ratusan lagi penduduk, kelmarin.
Menurut pegawai, sehingga pagi semalam, jumlah kematian akibat cuaca panas melampau itu sejak pertengahan bulan lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,826 orang.
Pegawai meteorologi berkata, keadaan mungkin berterusan sekurang-kurangnya selama dua hari lagi di sebahagian besar negara Asia Selatan itu, dari Tamil Nadu di selatan hingga ke Himachal Pradesh di kaki gunung Himalaya.
Kebanyakan kematian berlaku di negeri di selatan, khususnya Andhra Pradesh dan Telangana.
Kira-kira 100 penduduk mati di kedua-dua negeri itu pada Khamis ketika suhu berada di paras 43 darjah Celsius.
Dalam pada itu, ribuan lori tangki dikerah menghantar bekalan air ke lebih 4,000 kampung di Maharashtra, tengah India, yang berdepan dengan kekurangan air, lapor agensi berita Press Trust of India.
Di negeri lain, penduduk melaporkan mengenai kemusnahan tanaman dan kematian haiwan ternakan. Sebahagian haiwan itu dikatakan mati kehausan.
Penduduk melakukan apa saja untuk menyejukkan diri, termasuk berlindung di kawasan teduh, terjun ke sungai, minum susu dan jus bawang.
Bagaimanapun, kebanyakan petani dan pekerja binaan yang miskin masih terus bekerja di luar walaupun berdepan risiko.
Mereka dan warga emas yang miskin antara paling terdedah kepada serangan strok haba kerana tidak mempunyai akses kepada pendingan udara atau pokok besar untuk berteduh.
Pakar berkata, angka rasmi itu tidak menggambarkan jumlah kematian sebenar memandangkan cuaca panas itu lebih banyak membabitkan golongan miskin dan gelandangan yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital.
Musim hujan dijadual bermula minggu depan di selatan sebelum ia merebak ke utara.
Agensi ramalan cuaca AccuWeather memberi amaran mengenai kemungkinan kemarau berpanjangan kerana musim monsun mungkin diganggu oleh musim taufan yang lebih aktif di Lautan Pasifik.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:07 AM


PENDUDUK di New Delhi tidur di bumbung bangunan kerana kepanasan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54359#sthash.cdf6fEqJ.dpuf

Bayi hamil kembar parasit

Beijing: Doktor di Changzhou di wilayah Jiangsu berjaya mengeluarkan kembar parasit dalam perut seorang bayi baru lahir, minggu lalu.
Pasukan perubatan di sebuah hospital di bandar berkenaan mengesyaki sesuatu tidak kena pada bayi seberat tiga kilogram itu kerana keadaan perutnya.
Satu ketumbuhan besar berukuran lilit 16 sentimeter dikesan di dalam perutnya selepas bayi itu menjalani pengimbasan.
Pembedahan mengeluarkan ketumbuhan itu dilakukan dalam masa dua jam dan pasukan perubatan mengesahkan ia kembar parasit bayi itu, keadaan tidak normal yang berlaku apabila embrio kembar tidak berpisah sepenuhnya dan satu daripadanya berhenti membesar ketika kehamilan.
Keluarga bayi itu dimaklumkan, kembar parasit dalam bayi baru lahir itu turut mempunyai rambut.
Keganjilan itu yang dikenali sebagai janin dalam janin, walaupun jarang berlaku, bukan kes pertama dilaporkan tahun ini.
Februari lalu, seorang bayi di Hong Kong didapati mempunyai dua kembar membesar dalam badannya.
Janin dalam janin hanya berlaku satu dalam setiap 500,000 kelahiran. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:11 AM


BAYI berkenaan dengan perutnya yang tidak normal sebelum dibedah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54381#sthash.V0TExLzD.dpuf

Bapa dikecam heret anak seperti anjing

Beijing: Seorang bapa dikecam selepas dia dirakam mengheret anaknya dengan tali yang diikat pada leher kanak-kanak itu.
Rakaman mengejutkan itu menunjukkan bapa berkenaan menarik anaknya sejauh 100 meter tanpa mempedulikan jeritan dan tangisan mangsa, kononnya untuk mengajar si anak.
Dalam video yang menjadi viral di China sejak beberapa hari lalu, lelaki itu dilihat membuka pintu sebuah van dengan anaknya berada di dalam.
Dirakam di wilayah Zhejiang, video itu menunjukkan lelaki berkenaan memaksa anaknya keluar. Tetapi, apabila si anak enggan, lelaki itu menarik tali berkenaan, menyebabkan anaknya terjatuh dari kenderaan itu.
Si bapa kemudian berjalan dengan menarik tali yang dijerut pada leheri anaknya sambil menjerit: “Lebih baik besarkan kamu seperti anjing.”
Walaupun si anak tertiarap, lelaki itu terus menariknya di sepanjang laluan berkenaan sebelum memasuki sebuah blok apartmen.
Seorang jiran yang merakam kejadian itu kemudian memuat naik video itu ke laman sosial.
Ribuan pengguna yang menontonnya mengecam tindakan lelaki itu.
Menurut laporan, lelaki itu, pemandu trak yang tidak disiarkan namanya berkata, dia hilang sabar apabila melihat anaknya bermain di luar dan tidak mengulang kaji pelajarannya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:11 AM


GAMBAR yang dipetik dari rakaman video menunjukkan lelaki itu memaksa anaknya keluar dari van sebelum diheret dengan tali yang terjerut pada lehernya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54385#sthash.di3H5DAf.dpuf

Ke Tanjung Rambutan

Kuala Lumpur: Pelakon dan model sambilan, Shanna Avril yang didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling diarahkan Mahkamah Majistret, di sini, semalam, untuk menjalani kesihatan mental di Hospital Tanjung Rambutan.
Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor membuat keputusan itu terhadap Shanna atau nama sebenarnya Persana Avril Sollunda, 32, dalam prosiding kes sebutan, semalam.
Mahkamah turut memerintahkan Shanna untuk mendaftar masuk ke hospital itu semalam dan akan mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas peserta rancangan Dewi Remaja itu selain membatalkan jaminan.
Selepas mendengar perintah itu, Shanna memohon mahkamah memberikannya masa dua hari untuk mengemas pakaiannya di rumah, namun mahkamah menolak.
Shanna yang memakai seluar ketat dan cardigan labuh berwarna keemasan turut ditegur Nur’Aminahtul apabila menyuruh peguam bela tertuduh Muhammad Nur Izzat Nordin menasihatkan anak guamnya supaya berpakaian sopan.
“Tolong nasihatkannya supaya jangan pakai macam ‘rock star, tolong pakai elok sikit,” katanya.
Bekas pelakon drama bersiri itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Petaling, jam 2.07 petang, 23 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau keduanya, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Muhammad Nur Izzat memohon untuk membuat perbicaraan secara tertutup.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu.
Terdahulu, ketika kesnya disebut jam 9.30 pagi, wanita berkenaan tidak hadir sebaliknya hanya mewakili peguam dan adik lelakinya yang juga penjamin.
Muhammad Nur Izzat memaklumkan anak guamnya tidak hadir kerana tidak sihat, namun mahkamah menangguhkan kes sehingga jam 12 tengah hari dan mengarahkan tertuduh hadir jika tidak berbuat demikian waran tangkap akan dikeluarkan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.
Dalam kejadian 23 April lalu, aksi wanita berkenaan sempat dirakam orang ramai sebelum menjadi viral di laman sosial.
Dalam video berdurasi 1.53 minit itu, wanita berkenaan mendakwa sudah meletakkan wang bayaran di atas meja, tetapi dinafikan peniaga terbabit.
Peniaga itu kemudian memegang pergelangan tangan wanita itu yang menyebabkan dia menjerit sambil meronta supaya dilepaskan.
Sebaik berjaya melepaskan tangannya dari cengkaman peniaga itu, wanita itu menanggalkan pakaian yang menutupi bahagian atas badannya satu persatu hingga separuh bogel.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:21 AM


Shanna Avril
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54447#sthash.Ki1td4rB.dpuf

‘Kalau tunang tahu, nahas saya’


Manjung: “Tolonglah, jangan tahan saya. Kalau tunang tahu, nahas saya kerana saya sudah janji tak akan ambil ‘ubat’ lagi.” Demikian rayuan seorang lelaki berusia 35 tahun yang ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung dalam Ops Perdana di Pulau Pangkor, dekat sini, kelmarin.
Dalam operasi yang bermula jam 7 malam Rabu lalu dan berakhir jam 5 petang kelmarin, lelaki terbabit merayu tidak ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Lelaki terbabit antara 29 penagih dadah berusia antara 20 hingga 50 tahun yang ditahan AADK Daerah Manjung dalam operasi khas itu.
Ketika ditemui, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, ketika rumahnya diserbu, dia sedang tidur selepas pulang daripada menangkap ikan di laut sebelum dikejutkan pihak berkuasa.
Man yang akan berkahwin hujung tahun ini mengaku mengambil bahan terlarang sejak 15 tahun lalu dan pernah dipenjara serta ditahan di pusat pemulihan.
“Saya mula terbabit dengan penyalahgunaan dadah ketika berusia awal 20-an dan sejak itu, sudah tiga kali ditahan di pusat pemulihan dan dua kali dipenjarakan.
“Setiap hari, saya membelanjakan RM10 untuk membeli heroin daripada pembekal dan kini saya mula risau jika tunang mahu memutuskan pertunangan kami kerana sudah banyak kali dia memaafkan saya,” katanya ketika ditemui di Jeti Kastam, Kampung
Acheh, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Manjung Sharuddin Abdul Salam berkata, 29 penagih ditahan dalam operasi yang dijalankan di lima kampung dan tiga pelantar ikan di sekitar Pangkor serta bot nelayan di perairan Pangkor.
“Ujian saringan air kencing mendapati semua penagih positif heroin, ganja, amphetamine serta methamphetamine dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan pengawasan AADK selama dua tahun atau dihantar ke pusat pemulihan dua tahun,” katanya.
Menurutnya, operasi membabitkan 36 anggota dan pegawai AADK Manjung dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Balai Polis Pangkor dan Pasukan Polis Marin, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan AADK bagi membendung penyalahgunaan dadah.
Katanya, semua penagih itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54449#sthash.5pJhJzch.dpuf

Polis periksa polis

Kuala Lumpur: Tidak pilih kasih. Itu pendirian Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Trafik Bukit Aman dalam memastikan anggota PDRM turut mematuhi undang-undang jalan raya dilaksanakan.
Ini dibuktikan apabila Cawangan Trafik Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas dan Kem Komandan Bukit Aman menjalankan operasi Ops Roda di kedua-dua pintu utama bangunan Bukit Aman, di sini, semalam.
Operasi itu dijalankan bagi mengesan pemandu kereta dan penunggang motosikal dalam kalangan kakitangan PDRM yang gagal mematuhi spesifikasi kenderaan ditetapkan.
Operasi bermula jam 4 petang sehingga jam 7 malam itu membabitkan 51 pegawai dan anggota polis.
Jurucakap Cawangan Trafik Bukit Aman berkata, sebanyak 234 motosikal diperiksa dan 18 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Operasi itu dilihat sebagai tanda aras ketelusan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang bukan sahaja kepada orang awam, tetapi turut membabitkan anggota PDRM.
“Warga kerja PDRM tidak terlepas dengan tindakan undang-undang khususnya membabitkan undang-undang jalan raya,” katanya.
Sementara itu berdasarkan statistik, sejumlah 12,133 pesalah trafik sudah menyerah diri di seluruh negara dalam Ops Warta yang memasuki hari ke-11 semalam.
Menurut laporan, Johor berada di senarai teratas apabila seramai 2,889 individu menyerah diri diikuti Selangor (2,443), Pulau Pinang (1,012) dan Perak (976).
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:24 AM


OPS Roda yang dilaksanakan di pintu masuk Bukit Aman.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54462#sthash.sQfvqjaR.dpuf

Mengaku salah cedera ibu, isteri

Melaka: Seorang bapa tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas empat pertuduhan mengugut serta mencederakan ibu dan isterinya, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Ramlan Mohd Sanusi, 31, dari Taman Duyong Indah, Kandang, mengaku bersalah selepas faham empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan pertama, Ramlan didakwa dengan niat curang melakukan ugutan jenayah dengan perbuatan mengacukan pedang terhadap isterinya, Saloha Rupuri, 44.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan niat curang melakukan ugutan jenayah mengacukan pedang dan berkata ‘kau nak mati mok, kau nak mati mok,” yang mendatangkan ketakutan kepada ibunya, Laila Abdullah, 63.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada kedua-dua mangsa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Duyong Indah, Taman Duyong Indah, Kandang di sini, antara jam 6 petang hingga 2 pagi pada 16 hingga 17 Mei lalu.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abdul Hamid memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh sebaliknya menghantar Ramlan menjalani rawatan di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor.
Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) negeri, Ishak Mohd Kari juga bersetuju tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan.
Ishak berkata, rawatan itu penting bagi mendapat pengesahan daripada doktor sama ada tertuduh sedar dengan apa yang dilakukan ketika kejadian itu berlaku atau sebaliknya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:36 AM


Ramlan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54495#sthash.uaxuTjKo.dpuf

‘Suara ghaib’

Jitra: Seorang lelaki berusia 40-an bertindak di luar kawalan apabila membakar motosikal Modenas Kriss sehingga mengakibatkan rumah pusakanya di Kampung Padang Luar, Jalan Wang Tepus, di sini, turut dijilat api dalam kebakaran itu selepas mendakwa mendengar suara ghaib mengarahkannya melakukan perbuatan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam kelmarin, lelaki terbabit yang bekerja di pusat cuci kereta bertindak membakar kediaman itu bersama motosikalnya sebelum melarikan diri ke rumah jirannya yang tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, kejadian itu disedari sepupunya, Mohd Tajuri Saidin, 49, yang baru pulang daripada kerja sejurus melihat api sedang marak dan terus menghubungi pihak bomba.
Mohd Tajuri berkata, dia yang melihat rumah pusaka berkenaan terbakar terkejut apabila dimaklumkan sepupunya bahawa dia yang membakar rumah itu.
“Akibat bimbang kejadian lebih teruk berlaku, saya kemudian menghubungi pihak bomba dan polis sebelum meminta bantuan orang kampung memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:39 AM


MOHD Tajuri melihat keadaan motosikal yang rentung akibat dibakar suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54497#sthash.ZT5SXHAH.dpuf

‘Spiderman’ patah kaki




Kuala Lumpur: Seorang lelaki ‘spiderman’ bertindak memanjat menara Masjid Jamek Kampung Baru di sini, setinggi lebih 15 meter sebelum terjatuh dari puncak menara itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang semalam, lelaki berusia 23 itu dilihat memanjat menara masjid yang kini dalam proses pengubahsuaian.
Tindakan itu bagaimanapun menyebabkan lelaki itu terjatuh sebelum terhempas pada bumbung premis berhampiran.
Salah seorang saksi, Mohd Hafiz Hamzah, 33, berkata, dia dan penduduk sekitar kawasan itu gempar apabila melihat lelaki itu memanjat menara masjid berkenaan.
Menurutnya, ada antara ‘penonton’ memujuk lelaki itu supaya membatalkan niat memanjat menara itu.
“Bagaimanapun, pujukan orang ramai itu tidak diendahkan lelaki itu yang terus memanjat dan kemudian terjun dari menara itu.
“Ada kemungkinan lelaki itu tidak lagi berdaya untuk memanjat menara itu dan keletihan. Lelaki itu kemudian jatuh terhempas di atas bumbung,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun hanya mengalami patah kaki sebelum diselamatkan orang ramai.
“Lelaki itu yang mengalami masalah mental kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:41 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54501#sthash.BY47njVG.dpuf

Penunggang mountain bike dilanggar dari belakang

Georgetown: Seorang wanita cedera selepas basikal mountain bike ditunggangnya dilanggar motosikal dari belakang, di depan sebuah sekolah di Jalan Air Itam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Greenlane, di sini.
Mangsa, Tan Bee Poh, 43, cedera di kaki, tangan serta patah dua gigi dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan sejurus kejadian.
Difahamkan, mangsa mengayuh basikal seorang diri dari Empangan Air Itam untuk pulang ke rumahnya di Jalan Greenlane dan dilanggar sebuah motosikal di situ.
Mangsa dipercayai dilanggar seorang penunggang motosikal warga asing yang kemudian melarikan diri sejurus kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 3:15 PM


Penunggang mountain bike dilanggar motosikal. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54522#sthash.tZbYJAuP.dpuf

Adik maut, abang cedera

Batu Kawan: Adik maut, manakala abang cedera selepas motosikal ditunggang mereka melanggar kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang empat di Jalan Batu Kawan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, 12.15 tengah hari tadi.
Mangsa yang maut adalah K Prakesh,13, manakala yang cedera, K Dinesh,15.
Kemalangan berlaku apabila K Prakesh yang menunggang motosikal melanggar bahagian kiri belakang kereta itu.
Difahamkan, dua beradik itu belajar di SMK Batu Kawan dan mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala abangnya yang cedera diberikan bantuan kecemasan.
Bagaimanapun, pemandu kereta tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
Katanya, Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:14 PM


Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian. FOTO Shamsul Munir Safini
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54528#sthash.mrXNe55x.dpuf

Cabar mencabar berakhir dengan maut

Miri: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun maut dibelasah dua lelaki dalam kejadian di rumah mangsa di Kampung Lusut Jaya 1, Taman Tunku, Miri, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada 10 malam itu, mangsa bersama isterinya didatangi dua lelaki berusia 30-an yang menyerang dan memukul mangsa dengan batang penyapu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, isteri mangsa yang ketakutan melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.
"Ketika pulang semula ke rumah, isterinya mendapati suaminya itu dalam keadaan berlumuran darah dan sudah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
"Kemudian berlaku cabar mencabar mengakibatkan mangsa maut dibelasah," katanya.
Katanya, sejurus menerima laporan, dua suspek berkenaan dan lima lagi lelaki ditahan.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 6:05 PM


Tujuh yang ditahan bagi membantu siasatan. FOTO Mohd Rizal Abdullah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54530#sthash.aIGPebZ2.dpuf

Tidak berperikemanusiaan


Oleh Ahmad Saufi Mansor

opie@hmetro.com.my

Kangar: Tindakan menjadikan Bukit Wang Burma, Wang Kelian di Padang Besar sebagai lokasi perkuburan oleh sindiket pemerdagangan manusia disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, berikutan itu Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan kejam sindiket berkenaan terhadap mangsa terbabit.
Menurutnya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN mini untuk membincangkan isu berkaitan aktiviti pemerdagangan manusia membabitkan beberapa negara ASEAN yang bersempadan.
"Kita (Malaysia) sedia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran mini ASEAN Summit untuk bincangkan isu ini.
"Apa yang berlaku di Wang Kelian (penemuan kubur) cukup menyedihkan, namun untuk atasi isu berkaitan membabitkan banyak negara, bukan saja Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan 2014 di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis, di sini, petang tadi.
Katanya, apa yang perlu dilakukan buat masa ini adalah menyelamatkan pelarian Rohingya dan menempatkan mereka di lokasi selamat dengan memberi bekalan makanan secukupnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54531#sthash.IQ2sfHUJ.dpuf

Lelaki OKU rentung


Mukah: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah kayu di Kampung Petanak Daya di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Alimat Haji Sam berkata, mayat Jumil Sinjan, 39, ditemui dalam satu daripada bilik tidur di sebuah daripada rumah berkenaan yang 95 peratus musnah.
Katanya, enam anggota bomba dan sebuah jentera ke tempat kejadian yang terletak sekitar tujuh kilometer dari balai, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.56 pagi.
"Api berjaya dikawal sekitar 5.17 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 6.20 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi, mereka diberitahu terdapat seorang penghuni lelaki OKU dalam sebuah rumah , namun ketika itu api sudah marak.
Alimat berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada penghuni rumah berkenaan, terdapat 12 orang termasuk mangsa mendiami rumah itu.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. BERNAMA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54532#sthash.q0EjFoFc.dpuf

Lelaki OKU rentung


Mukah: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah kayu di Kampung Petanak Daya di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Alimat Haji Sam berkata, mayat Jumil Sinjan, 39, ditemui dalam satu daripada bilik tidur di sebuah daripada rumah berkenaan yang 95 peratus musnah.
Katanya, enam anggota bomba dan sebuah jentera ke tempat kejadian yang terletak sekitar tujuh kilometer dari balai, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.56 pagi.
"Api berjaya dikawal sekitar 5.17 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 6.20 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi, mereka diberitahu terdapat seorang penghuni lelaki OKU dalam sebuah rumah , namun ketika itu api sudah marak.
Alimat berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada penghuni rumah berkenaan, terdapat 12 orang termasuk mangsa mendiami rumah itu.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. BERNAMA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54532#sthash.t9OSgcil.dpuf

Dua wanita maut

Bintangor: Dua wanita termasuk warga emas maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran simpang Pakan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Minda Sayup, 32, maut di tempat kejadian, manakala Riong Gada, 64, meninggal dunia di Hospital Sarikei.
Kedua-duanya menaiki kereta dan tiga lagi penumpang kereta termasuk dua kanak-kanak berusia 13 tahun parah, menerima rawatan di hospital sama.
Pemandu dan penumpang treler serta pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 27 hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian dan merempuh pacuan empat roda yang kemudiannya terbabas ke laluan bertentangan.
Kereta dinaiki mangsa yang maut melanggar pula pacuan empat roda itu.
Ketua Polis Daerah Maradong Deputi Superitendan Mohamad Hafifi Salim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
"Pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 8:59 PM


Kemalangan yang menyebabkan dua wanita termasuk warga emas maut. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54534#sthash.PEu5jPkT.dpuf

Rebus, cincang mayat anak

Athens: Seorang bapa yang dituduh membunuh anak perempuannya berusia empat tahun dipercayai merebus dan memotong anggota tubuh mangsa sebelum membuangnya di merata tempat di Athens selepas urusan menyeludup organ mangsa gagal.
Ani Borissova dilapor hilang di Bulgaria pada 21 April.
Berita mengenai kehilangannya mendorong polis Greece melancarkan gerakan mencari di seluruh negara.
Bapanya, Stanislav Bakardjiev, 27, ditangkap atas tuduhan membunuh dan tidak menguruskan mayat secara sepatutnya.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Dimitrina Borissova, 25, juga ditahan atas tuduhan membahayakan kanak-kanak selepas polis menemui kesan darah mangsa di apartmen keluarga itu di Athens.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:43 AM


ANI Borissova.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54507#sthash.y6HbwpxN.dpuf