Kaunselor/Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah berkata kumpulan operasi pencarian itu turut melibatkan penduduk kampung dan tiga anjing pengesan.
Katanya. isteri Lee, Jennifer E Peters-Lee telah tiba ke lokasi kejadian pada pagi tadi dengan menaiki helikopter persendirian yang bertolak pagi semalam.
"Puan Jennifer juga telah membuat perancangan sendiri atau tambahan dengan mengambil perkhidmatan syarikat pengesan swasta, yang mempunyai anjing pengesan terlatih, sejak ketibaan beliau di Pokhara semalam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Fadli berkata risalah-risalah pemakluman tentang kehilangan Lee juga mula diedarkan pagi ini di sekitar kawasan lokasi kejadian.
"Ia diedarkan dengan harapan penduduk kampung di sekitar kawasan itu dan juga mungkin delegasi pendaki lain yang melalui kawasan berkenaan, akan dapat membantu pencarian dengan lebih berkesan," katanya.
Katanya pihaknya akan terus berhubung dengan pihak polis Nepal di Kathmandu dan di Pokhara bagi memantau dan memastikan agar pihak polis Nepal keseluruhannya terus memberikan kerjasama dan bantuan pencarian, selain oleh pihak syarikat, agensi swasta ataupun kumpulan pendaki yang berkaitan.
Lee, 48, ahli perniagaan di sini, menyertai sekumpulan lapan rakannya dari Filipina mendaki litar Annapurna di Nepal.
Sebelum ini, beliau sering merentas hutan-hutan Malaysia dan pernah mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Kumpulan itu menyedari kehilangan Lee di Trek Khopra Danda di kawasan Ghorepani pada Ahad, iaitu hari pertama mereka mendaki litar itu pada kira-kira 3 petang waktu tempatan. - BERNAMA