Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, dia yang menjalankan perniagaan sampingan membekalkan barang kepada peniaga pasar malam mula membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada seorang ah long.
“Duit itu saya dan empat rakan kongsi gunakan untuk modal berniaga tetapi malangnya perniagaan kami tidak berjalan lancar dan memerlukan lebih banyak modal.
“Sejak itu, saya dan rakan-rakan mula pinjam wang daripada beberapa ah long dengan menggunakan nama saya hinggalah hutang kami mencecah RM30,000,” katanya ketika ditemui di pejabat Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA, Michael Tay Chee Boon di sini hari ini.
Ahmad berkata, dia hanya dapat membayar hutang RM2,000 kepada dua ah long pada November lalu namun gagal melunaskan baki pinjaman sebanyak RM28,000.
Katanya, dia kini menjadi buruan ah long berkenaan apatah lagi rakan kongsinya mengundurkan diri daripada perniagaan tersebut.
“Saya menerima panggilan daripada beberapa ah long yang meng­ugut untuk melakukan sesuatu terhadap saya,” katanya.
Sementara itu, Chee Boon berkata, beliau akan menghubungi kese­mua ah long itu bagi membolehkan mangsa membayar pinjaman secara ansuran.