Ditahan kerana pamer lesen palsu
Ops Roda kali ini memeriksa hampir 300 motosikal di Plaza Tol Sungai Dua, semalam
SUNGAI DUA - Tindakan seorang pemuda mempamerkan kad pengenalan dan lesen memandu dipercayai palsu ketika diperiksa anggota polis trafik akhirnya memakan diri apabila ditahan dalam Ops Roda yang diadakan di Plaza Tol Sungai Dua, pagi semalam.

Pemuda tersebut yang menunggang motosikal dari arah utara pada mulanya mengaku dilahirkan di Sabah berdasarkan alamat yang tertera pada kad pengenalannya.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kad pengenalan dan lesen memandu didapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod dan dipercayai palsu.

Pegawai Trafik Penguatkuasa / Operasi Lebuh Raya Bukit Aman, Deputi Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, sebilangan pengguna motosikal yang tidak memasang nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan turut menjadi perhatian dalam operasi ini.

"Tindakan saman dikenakan kepada penunggang motosikal yang masih berdegil.

“Kita juga memfokuskan kepada kesalahan lain seperti tiada lesen dan cukai jalan yang digunakan sudah tamat tempoh ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, dalam Ops Roda ini, sebanyak 300 motosikal diperiksa dan sebanyak 168 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi kali ini, lebih banyak pemilik motosikal berkuasa tinggi didapati tidak mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tiga motosikal juga turut disita termasuk seorang daripada penunggang kerana memiliki lesen dan kad pengenalan palsu serta motosikal ditunggang oleh warga asing yang memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR),” katanya.

Operasi yang bermula seawal jam 7 pagi itu diketuai trafik Bukit Aman dan dibantu trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dengan kekuatan lima pegawai dan 22 anggota.