SHIMLA – INDIA. Seorang lelaki menerima padah apabila diserang seekor monyet jantan selepas mengangkat tangan dan menunjukkan isyarat lucah kepada haiwan tersebut.

Menerusi sebuah video yang kini menjadi viral, lelaki tersebut dikatakan berjalan di sebuah jalan ditemani rakannya.

Perhatiannya beralih ke arah seekor monyet yang berada di sisi jalan.

Monyet tersebut yang berasa terancam dengan kehadirannya mula memanjat tembok untuk berdepan dengan lelaki tersebut.

Tindakan lelaki tersebut yang mengangkat tangan dan menunjukkan isyarat lucah ke arah monyet tersebut merupakan kemuncak insiden apabila lelaki tersebut diserang di wajahnya.

Video berdurasi 41 saat yang dipaparkan menerusi portal berita Metro.co.uk menunjukkan lelaki tersebut bangun semula dan meninggalkan monyet tersebut tanpa berbuat apa-apa.