Budak enam tahun maut
Pertembungan kuat membabitkan dua kenderaan dari arah bertentangan itu menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun akibat parah di kepala.
JENGKA - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut apabila kenderaan dipandu bapanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 10 kira-kira jam 9.10 malam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Hazriq Iswadi Hasmahadi yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kemalangan tersebut membabitkan kereta Proton Iswara dinaiki dua beranak itu dan sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 27 tahun seorang diri.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari arah Bandar Jengka hilang kawalan berikutan pemandu terkejut mendapati sebuah pacuan empat roda yang berada di hadapan laluan terbabas.

“Akibat panik, Proton Wira berkenaan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Iswara dinaiki dua beranak yang berasal dari Felda Sungai Tekam Utara.

“Pertembungan kuat menyebabkan kanak-kanak lelaki yang berada di tempat duduk belakang parah di kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat,” katanya.

Mat Rizal berkata, bapa yang memandu, Hasmahadi Hassan, 34, turut parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahamad Shah (HoSHAS) Temerloh sementara pemandu Proton Wira hanya cedera ringan.