Search This Blog

Tuesday, April 21, 2015

Afrika Selatan tangani keganasan antipendatang


20 April 2015 12:41 AM
 Embedded image permalink

Jacob Zuma

JOHANNESBURG 19 April – Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma merayu warga asing untuk terus tinggal di negara ini, ketika beliau membatalkan lawatan rasmi ke Indonesia bagi menangani krisis keganasan yang semakin me­rebak.
Bagi mengelakkan keganasan pada 2008 berulang, Zuma tiba di Durban untuk melawat sebuah kem yang menempatkan rakyat asing yang berlindung daripada keganasan, tetapi kehadiran beliau tidak dialu-alukan apabila ramai pelarian menjerit ke arahnya supaya beredar dari situ dan situasi sudah terlambat.
“Sebagai kerajaan, kami tidak meminta anda semua (rakyat asing) supaya meninggalkan negara ini. Tidak semua rakyat Afrika Selatan bersikap membenci orang asing, hanya segelintir kumpulan sahaja.
“Bagi rakyat asing yang mahu pulang, mereka perlu sedar bahawa apabila kami berjaya menghentikan keganasan, mereka dialu-alukan untuk datang semula ke Afrika Selatan,” katanya ketika berucap di Kem Chatsworth.
Keganasan xenofobia atau anti rakyat asing berlanjutan sejak tiga minggu lalu, menyebabkan enam orang terbunuh dan memaksa lebih 5,000 pendatang berlindung di kem pelarian buatan sendiri.

Insiden serangan terbabit dipercayai berpunca akibat ucapan pemimpin puak Zulus, King Goodwill Zwelithini yang menyalahkan kehadiran rakyat asing di Afrika Selatan sebagai punca peningkatan kadar jenayah dan mahu warga asing itu meninggalkan negara ini.
Dalam kejadian terbaharu semalam, polis melaporkan seorang rakyat asing mati akibat luka ditikam di Alexandra, sebuah pe­kan yang terletak di utara Johannesburg, manakala lebih 30 tangkapan dibuat pa­da hari yang sama berhubung keganasan itu.
Zuma dijadual mengadakan lawatan ke Indonesia semalam, tetapi membatalkan lawatan itu kerana mahu menguruskan kes serangan ke atas warga asing di negaranya.
Keputusan itu dibuat ketika masyarakat dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian xenofobia di Afrika Selatan yang dilihat sukar dikawal.
Negara jiran iaitu Zimbabwe, Malawi dan Mozambique mengumumkan pelan untuk membawa keluar rakyat masing-masing dari Afrika Selatan ekoran kebimbangan keganasan yang semakin memuncak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/afrika-selatan-tangani-keganasan-antipendatang-1.82711#sthash.royHjkZo.dpuf

No comments:

Post a Comment