Search This Blog

Thursday, April 23, 2015

3 anggota tentera cedera trak bertembung MPV

Pekan: Tiga anggota tentera cedera selepas trak dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang datang dari arah bertentangan di Jalan Paloh Hinai-Pekan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, anggota terbabit dari Briged Mekanise Kem Batu 10, Kuantan, dikatakan baru selesai mengikuti Program Jiwa Murni di Muadzam Shah, Rompin dan dalam perjalanan pulang ke kem mereka.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah MPV dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu trak tentera itu cuba mengelak daripada bertembung dengan MPV berkenaan namun tidak berjaya selepas trak itu melanggar bahagian kiri jalan sebelum terbalik.
“Difahamkan, trak itu berpusing dua kali mengakibatkan semua anggota yang berada di dalamnya mengalami kecederaan,” katanya.
Zainalabidin berkata, tiga anggota tentera berkenaan cedera pada bahagian pinggang dan kepala.
Katanya, mereka dihantar ke Hospital Pekan, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota tentera yang terbabit dalam kemalangan itu ialah Staf Sarjan Hasbullah Zakaria mengalami kecederaan pada paha dan pinggang, Lans Koperal Zamri Zakari cedera di pinggang dan Koperal Mahadir Abdullah luka agak serius di kepala.
“Pemandu MPV itu hanya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:15 AM


KEADAAN trak dan MPV selepas terbabit kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45784#sthash.vH7SI4in.dpuf

No comments:

Post a Comment