Mohd. Yusoff Awang
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Awang berkata, lelaki berkenaan dipercayai teman lelaki mangsa berdasarkan keterangan yang diambil daripada tujuh individu dalam kalangan ahli keluarga, jiran-jiran dan rakan sekerja wanita tersebut.
Beliau berkata, setakat ini polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes ber­kenaan dan senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa juga tidak ditemui.
“Motif pembunuhan mungkin disebabkan cemburu dan bukan samun kerana beberapa barangan berharga mangsa masih ada bersamanya ketika ditemui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia me­laporkan D. Komethy, 31, yang merupakan janda anak empat ditemui mati di atas tilam dengan memakai baju blaus bercorak petak bunga dan berseluar paras lutut di dalam rumah sewa yang baharu didudukinya selama dua hari.
Ketika ditemui pada pukul 9 malam itu, mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang manakala pemeriksaan pada badannya menemui tiga kesan luka akibat dikelar pada bahagian depan hingga belakang leher, telinga kanan dan pipi kirinya.
Sehubungan itu, Mohd. Yusoff meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.