Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Zulyana Zollkapli di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selebriti yang baru-baru ini menjadi antara pemenang dalam sebuah pertandingan nyanyian membabitkan penyanyi ‘otai’ itu dibawa masuk ke dalam mahkamah dengan diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman pada pukul 11.30 pagi.
Suspek yang semakin kurus itu langsung tidak cuba menyorokkan wajahnya namun kelihatan bersahaja apabila wajahnya dirakam oleh jurugambar ketika dibawa keluar dari mahkamah pada pukul 12.30 tengah hari.
Semalam, suspek ditahan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di kawasan Jalan Jelatek 2, Jelatek Business Park, Hulu Kelang di sini pada pukul 9 malam.
Ketika pemeriksaan badan dilakukan, polis tidak menjumpai apa-apa barang larangan namun suspek kemudiannya dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk menjalani ujian saringan dan didapati positif dadah jenis amphetamine.