Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, sebuah kereta jenis Proton Gen.2 yang dipandu lelaki berusia 30-an merempuh sekatan jalan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan tersebut setelah diarahkan berhenti.
Komander UPP Kelantan, Rosli Karim berkata, bagaimanapun kenderaan yang dipandu suspek terbabas di Kampung Kubang Itik ketika dikejar oleh anggota pasukan tersebut.
“Suspek berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan yang dilakukan kita menemui 500 bungkusan kecil di dalam 10 plastik hitam ini dipercayai dapat menghasilkan 250 liter air daun ketum.
“Rampasan dilakukan apabila pihak kami mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan melalui sekatan jalan raya yang dibuat oleh UPP,” katanya kepada pemberita di Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di sini hari ini.
Rosli berkata, kereta yang dipandu suspek yang dipercayai rakyat tempatan akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, bekalan daun ketum tersebut di bawa dari Kedah dan Perlis untuk dibekalkan kepada penagih di negeri ini.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau keduanya sekali.
“Rampasan ini adalah yang terbesar sejak tahun ini,” katanya.