Perompak maut ditembak
Anggota unit forensik menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian.
KUALA LUMPUR - Seorang perompak tidak sempat menggunakan hasil samunnya apabila dia maut ditembak di tempat meletak kenderaan sebuah pusat membeli-belah, di Cheras dekat sini, semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an maut selepas satu das tembakan dilepaskan oleh pengawal keselamatan mengenai dada kanan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sebelum itu suspek bersama tiga rakannya yang menaiki kenderaan jenis Naza Citra berwarna putih, merempuh sebuah premis pengurup wang yang berada di tempat meletak kenderaan di pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, kumpulan suspek terus keluar dari kenderaan dan terus menahan pekerja premis sebelum mengugut menggunakan parang.

“Bagaimanapun, pengawal keselamatan yang melihat kejadian kemudian bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah kumpulan suspek tersebut. Satu das telah mengenai dada kanan salah seorang suspek.

“Tembakan menyebabkan suspek parah dan maut di lokasi kejadian. Namun, tiga lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan membawa sejumlah wang tunai hasil samun di premis pengurup wang tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut adalah kenderaan curi dan dilaporkan hilang di Jinjang, beberapa tahun lalu.

Selain itu, suspek yang maut turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau bersabit kes curi kenderaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada kereta tersebut juga menemui dua bilah parang di percayai digunakan dalam kejadian ini.

“Kita masih memburu rakan suspek berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan dan percaya kumpulan ini yang terlibat dalam kejadian rompakan premis pengurup wang pada tahun lalu, berikutan modus operandi mereka yang serupa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.