Mangsa raba heret penyerang ke balai polis
Mangsa, Mandhare terpaksa berdepan dengan penyerangnya seorang diri tanpa bantuan orang ramai.
MUMBAI - INDIA. Seorang wanita nekad memukul dan membelasah seorang lelaki mabuk yang merabanya di sebuah stesen keretapi dan mengheret penyerang itu ke balai polis berdekatan.

Memetik laporan berita dari portal Metro.co.uk, mangsa, Pradnya Mandhare dikatakan dalam perjalanan pulang dari kuliah apabila kejadian itu berlaku di sebuah platform stesen keretapi Mumbai.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Mandhare berkata, lelaki tersebut menghampirinya dan mula meraba bahagian tubuhnya menyebabkan dia terkejut dan bergelut untuk melepaskan diri daripada lelaki itu.

Lebih mengecewakan, kata Mandhare, orang awam yang berada di tempat kejadian hanya melihat dan tidak membantu dia melepaskan diri dari penyerangnya.

Menyedari tiada sesiapa yang sanggup membantu, Mandhare bertindak pantas membelasah lelaki tersebut menggunakan beg tangannya, mencekak rambut lelaki itu dan mengheretnya kepada polis.

“Saya benar-benar terkejut apabila dia datang dan mula meraba-raba saya, dan saya cuba untuk melepaskan diri tapi tidak berjaya pada mulanya.

“Memandangkan tiada siapa datang membantu, saya pukul dan belit tangannya dengan tali beg. Dia cuba lepaskan diri dan membalas pukulan saya tetapi dia terlalu mabuk untuk berbuat demikian, "katanya.

Menurut Mandhare lagi, penyerangnya merayu meminta dilepaskan dan berjanji untuk mengikut gadis itu ke balai polis secara sukarela namun tidak dilayan.

Polis mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun, Chavan Chowdee dan suspek juga disahkan menghisap dadah dan mempunyai ketagihan alkohol.

Chowdee kini ditahan pihak berkuasa sementara menunggu pendakwaan ke atasnya