Lelaki Muslim ditembak
Al-Jumaili (kanan) ditembak mati oleh sekumpulan lelaki di Dallas.
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lagi penduduk Muslim ditembak mati di Amerika Syarikat ketika mangsa sedang mengambil gambar salji bersama keluarganya di Dallas.

Menurut laporan Press TV, mangsa dikenali sebagai Ahmed al-Jumaili, 36, berasal dari Iraq.

Al-Jumaili yang baharu sebulan menetap di AS ditembak pada Khamis.

Insiden itu berlaku genap sebulan selepas pembunuhan tiga pelajar Muslim di Chapel Hill di North Carolina.

Jurucakap Jabatan Polis Dallas, Monica Cordova berkata, al-Jumaili mati semasa dalam perjalanan ke hospital.

Menurutnya, siasatan dijalankan untuk menentukan sama ada kebencian menjadi motif pembunuhan tersebut.

Sementara itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) menggesa pihak berkuasa menyiasat pembunuhan tersebut sebagai jenayah kebencian.

"Polis perlu telus dalam menyiasat kes ini, " katanya. - Press TV