Polis dalam pada itu turut mengesahkan bahawa tiada mayat dalam keadaan sempurna ditemukan di lokasi nahas itu berlaku ketika mereka cuba mengenal pasti 150 mangsa yang terbunuh.
Menurut penyiasat seperti laporan Daily Mirror, ahli keluarga penumpang juga kini ditempatkan di dua buah hotel di Barcelona yang dijadikan makmal sementara oleh pasukan pakar bagi membolehkan mereka menyerahkan sampel DNA masing-masing.
Dalam usaha mengecam mangsa, ahli keluarga diminta pasukan penyiasat untuk menjelaskan sama ada mereka boleh mengingati pakaian yang mungkin dipakai penumpang semasa kejadian.
Waris turut ditanya sama ada anggota keluarga mereka mempunyai tanda-tanda tertentu pada badan termasuk tatu.
Sementara itu, timbalan ketua bahagian penyelidikan jenayah Gendarmerie Perancis, Patrick Touron berkata, pasukan penyiasat akan mencari sisa koyakan uniform bagi mengenal pasti krew penerbangan termasuk pembantu juruterbang, Andreas Lubitz.
Lubitz dipercayai sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas dan siasatan berhubung nahas itu kini tertumpu kepada latar belakang pembantu juruterbang tersebut. – AGENSI/REUTERS