Geng rompak bertelekung dipenjara 6 bulan
Nurul Suhada (tengah) dihukum penjara selepas mengaku salah merompak seorang pengusaha butik pengantin.
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal empat anak dihukum penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku salah merompak berkumpulan dan bersenjata parang serta pistol, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
 
Tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak pengusaha butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48, di rumah kedai di Kampung Landak, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.
 
Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan gelang emas berlian; gelang emas tulisan jawi nama Asuwah; komputer riba; beg tangan yang dijual; beberapa helai jubah; beg tangan Coach mengandungi resit dan RM150 serta beg tangan Celline mengandungi kad pengenalan, Mykid, surat, buku cek, cermin mata Bonia yang keseluruhannya bernilai RM20,000.
 
Pada prosiding itu, tertuduh merayu di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus agar hukumannya diringankan kerana dia mempunyai anak kecil yang masih bersekolah.
 
“Saya juga baru sahaja melahirkan anak keempat di dalam penjara, dua bulan lalu dan sudah bercerai dengan suami pada 2013,” katanya.
 
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari bagaimanapun memohon hukuman berat mengambil kira jenayah rompakan bersenjata yang semakin berleluasa. 
 
Mangsa turut memberitahu mahkamah, dia takut untuk membuka kedai pada waktu malam. 
 
Kes rompakan tersebut juga disiarkan Sinar Harian, tahun lalu.
 
Dalam kejadian lalu itu, mangsa bersama anaknya yang berusia 10 tahun berada di dalam kedai dan datang tertuduh bersama seorang lagi perempuan dengan memakai telekung sembahyang bertanyakan barangan dan pakaian pengantin.
 
Mereka mencuba pakaian dan perempuan tersebut keluar serta masuk semula bersama seorang lelaki. Lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pedang dan pistol lalu mengacukan ke arah mangsa. 
 
Mereka mengugut dan menyuruh mangsa membuka barang kemas yang dipakai.
 
Mangsa ketakutan, tertuduh kemudian membuka gelang yang dipakai Asuwah sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta bersama barangan yang dirompak dan disimpan di sebuah bilik di rumah inap di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh.