Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, keempat-empat lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan lewat petang semalam di kawasan Ra­wat dan Rehat (R&R) Sungai Perak arah Selatan.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut terhadap empat lelaki terbabit kemudian mendapati seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian pada pukul 9.30 malam, 2 Mac lalu itu.
“Selepas kita menjalankan siasatan terhadap empat lelaki termasuk dua daripada mereka yang mempunyai rekod kesalahan lampau, polis akhirnya berjaya me­nemukan dua pucuk pistol dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Kedua-dua pistol yang ma­sing-masing jenis Revolver .38 bersama lapan butir peluru dan Sigsauer berserta 10 butir peluru ini dijumpai di rumah seorang suspek di Taman Sri Bistari, Nibong Tebal di sini dan kesemua empat lelaki berkenaan mengikut rekod polis merupakan ahli sebuah kumpulan kongsi gelap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian 2 Mac lalu, seorang pekerja syarikat keselamatan, E. Selvakumar, 51, maut selepas ditembak lebih lima das ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian berhampiran lampu isyarat di Jalan Scotland di sini.
Tembakan berkenaan dilepaskan dua suspek yang menaiki motosikal dari jarak dekat dan terke­na kepala, tengkuk, badan dan lengan mangsa.
Tambah Abdul Rahim, kes ber­kenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek terlibat direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, daripada siasatan awal, kejadian tembak itu dipercayai mempunyai kaitan dengan urus niaga dadah namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan ini, kes tembak mati ini dianggap selesai,” katanya.