Search This Blog

Monday, March 23, 2015

4 geng 36 terbabit kes tembak ditahan di Pulau Pinang


KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi (kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah (kanan) menujukkan dua pucuk pistol dan peluru, iaitu sepucuk revolver .38 bersama 8 butir peluru .38 sepucuk sig sawyer bersama 10 butir peluru 9mm dari suspek lelaki India yang ditahan di R&R Sungai Perak dan suspek membawa ke rumah sewanya Taman Seri Bistari, Nibong Tebal dan menemui dua pucuk pistol tersebut, Penemuan dua pucuk pistol ada kaitan dengan kes tembak di Jalan Scotland Pulau Pinang lalu. - Foto Ramdzan Masiam
GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki yang juga anggota kongsi gelap 36 dan merampas dua pucuk pistol bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki mati ditembak di Jalan Scotland di sini pada 2 Mac lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, polis berjaya mengesan empat lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Perak pada jam 6 petang semalam.
"Mereka yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur berjaya ditahan di kawasan R&R berkenaan dan susulan penahanan tersebut, polis menyerbu sebuah rumah yang disewa seorang daripada mereka di Taman Seri Bistari di Nibong Tebal dekat sini.
"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui dua pucuk pistol bersama 18 butir peluru dan polis percaya satu daripada pistol itu digunakan dalam kejadian tembak di Jalan Scotland," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian tembak itu, mangsa berusia 51 tahun dan bekerja dengan syarikat pengawal keselamatan mati ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal ketika kereta yang dipandu mangsa berhenti di lampu isyarat.
Susulan kejadian itu, tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan ditahan di George Town dan Butterworth.
Abdul Rahim berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu mengaku terbabit dalam kejadian tembak terbabit.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan urusan perniagaan dadah antara geng kongsi gelap tersebut.
"Tiga lelaki yang ditahan itu telah dibebaskan dan kami percaya dengan penahanan empat lelaki lagi yang masing-masing tidak bekerja serta bekerja sendiri itu, pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati mereka yang ditahan turut terbabit dalam kejadian bunuh seorang remaja lelaki di Kampung Manis, Perai bulan lepas.
Mereka yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau turut terbabit dalam beberapa kes tembak dan bunuh di Kedah, Perak, Kuala Lumpur serta Selangor, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment