Suspek lelaki berkenaan iaitu Zakariah Hassan, 57, memegang kad pengenalan bernombor 580105-10-6017 dan beralamat terakhir di No.5, Jalan AUC1C/3G, Taman Keramat Permai di sini.
Sementara dua isterinya ialah Suziana Mohd. Yamin, 48, dan Syarifah Norfazihan Syed Mustafa, 37.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya telah mendapat banyak laporan dan aduan berhubung penipuan pakej umrah yang dilakukan ketiga-tiga suspek terbabit yang memperdayakan orang ramai melalui pelbagai modus operandi.
“Salah satu modus operandi syarikat berkenaan ialah menawarkan pakej umrah kepada bakal jemaah namun membatalkan rombongan tersebut setelah menerima pembayaran penuh daripada mangsa dengan alasan gagal mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.
“Ada juga yang dikesan tidak memulangkan duit kepada mangsa atau memberi cek atas nama akaun syarikat yang telah ditutup dan terdapat juga yang berjaya pergi namun dipaksa membayar wang tambahan kerana di sana syarikat lain pula menguruskan jemaah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam laporan akhbar April tahun lalu, polis mendedahkan yang pihaknya telah mengenal pasti tiga syarikat terbabit dalam kes penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 termasuk satu sindiket didalangi oleh seorang lelaki bersama tiga isterinya.
Bagaimanapun, salah seorang isteri suspek telah pun ditangkap di sebuah rumah di Damansara di sini tahun lalu dan masih memburu suspek serta dua lagi isterinya.
Tambah Hong Soon, pihaknya meminta bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubu­ngi balai polis berhampiran.
“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa pakej umrah sebegini juga diminta untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” ujarnya sambil menasihatkan orang Islam agar lebih berhati-hati dalam membeli pakej umrah.