ALOR SETAR - Sepuluh warga Myanmar ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah ketika cuba keluar secara haram dari negara ini, hari ini.
 
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata, kesemua warga asing itu ditahan di kawasan hutan Black Forest, Bukit Kayu Hitam pada 10.45 pagi tadi.
 
"Mereka ditahan ketika cuba keluar dari negara ini melalui pagar keselamatan sempadan yang telah dipotong dalam cubaan meloloskan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurutnya, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.
 
Mereka kini ditahan di lokap Jabatan Imigresen Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik, katanya. - Bernama